Kedai Khadijah di Felda Sahabat yang letaknya hampir 100 meter dari tempat saya menginap merupakan lokasi saya bersarapan setiap pagi sejak hari pertama ditugaskan melapor perkembangan kes pencerobohan kedaulatan negara di Lahad Datu, Sabah.

Menunya biasa-biasa sahaja — roti canai dan nasi lemak — cuma luar biasanya akhir-akhir ini, pelanggannya merupakan anggota keselamatan atau anggota RELA yang juga merupakan penduduk di sini. Mereka ini jadi teman sembang pagi.

Satu kelainan yang saya bawa ke kedai ini ialah meminta pemiliknya menukar rutin saluran televisyennya daripada sukan kepada Astro Awani.

Pernah saya ditanya mengapa perlu tukar siaran, jawapan saya mudah: Kenapa hendak menonton perlawanan bola sepak luar negara jika boleh melihat kampung sendiri dalam kaca televisyen, dan disaksikan penduduk di seluruh dunia?

Selepas berbual mengenai pendek situasi semasa, saya minta diri untuk ke pusat media. Namun sebelum meninggalkan mereka, seorang 'Abang RELA' meminta saya menyampaikan salam pada pembaca berita Awani 7.45 pagi ini, Izza Izelan. Saya hanya mengangguk.

Selepas sidang media harian hari ini, petugas media mengikut rancangannya akan dibawa ke Kampung Tanduo, sebuah kawasan "zon merah" yang mungkin menjadi 'transit' saki baki pengganas sebelum ditangkap atau ditembak mati oleh anggota keselamatan negara.

Selepas situasi agak tegang pada Jumaat, dengan laporan terkejut beberapa agensi media mengenai serangan di Kampung Kembara Sakti yang sedikit bercanggah dengan maklumat Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, saya dapat rasakan mungkin ada lagi kejutan dalam berita hari ini.

Sidang media oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan komander utama penceroboh Sulu dan penyelaras utama gerakan mereka di Lahad Datu telah ditahan.

Cerita kejayaan anggota keselamatan hari ini boleh dianggap menutup 'huru-hara' insiden di Kampung Kembara Sakti akibat khabar angin semalam.

Saya bagaimanapun dikejutkan dengan penangguhan 'lawatan' ke Kampung Tanduo dengan alasan keadaan masih tidak mengizinkan. Sebelum itu, pada sebelah pagi, ada wakil media yang mengikuti tinjauan marin di pesisir pantai Felda Sahabat sehingga ke Kampung Sungai Bilis. Perjalanan itu melintas Kampung Tanduo.

Menurut sumber, masih ada kepulan asap akibat bom di kawasan Kampung Sungai Bilis. Maksudnya apa? Terkejut juga saya kerana sebelum ini dimaklumkan bahawa Ops Daulat sudah sampai ke penghujung.

Saya teringat pesan seorang anggota keselamatan sewaktu sarapan pagi tadi yang berpesan kalau dibenarkan masuk ke Kampung Tanduo — yang hari ini tertangguh kerana keadaan tidak mengizinkan — jangan sekali-kali meninggalkan kumpulan.

"Di Tanduo tu, kalau berjalan masih belum selamat. Masih ada yang jahat. Kalau masuk biar ramai-ramai, takut ditembak," katanya.

Jujurnya, hati saya jadi sedikit gusar. Sebagai wartawan yang duduk dekat di barisan depan, maklumat yang datang dan diterima bersimpang-siur sekaligus rencam.

Etika wartawan menetapkan bahawa tugas wartawan ialah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang benar. Tetapi dalam mengejar kebenaran itulah maklumat dari barisan depan datang bersimpang-siur.

Maklumat yang bersimpang-siur itulah yang membuatkan saya terkejut.