LARUT: Setiap laporan yang diterima berkaitan kumpulan antivaksin akan diteliti dan disiasat secara mendalam sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.

Demikian respons Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika diminta mengulas mengenai tindakan terhadap kumpulan antivaksin yang berterusan menyebarkan berita palsu dan mengancam nyawa.

“Apabila kita tengok kalau ada mereka langgar sesuatu maka kita akan ambil tindakan.

"Sebagai seorang menteri yang jaga undang-undang, penguatkuasaan, undang-undang yang ada... kita akan tengok dahulu laporan polis yang telah diberikan kepada kita dalam seksyen mana, apa perkara yang mereka telah lakukan kesalahan kemudian kita akan umumkan dari semasa ke semasa,” jelas beliau.

Beliau ditemui selepas Program Penyampaian Kotak Makanan Serta Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Ara, Batu Kurau, Perak pada Sabtu.

Ditanya keperluan mewujudkan akta baharu berhubung perkara tersebut, Hamzah berkata, ia akan difikirkan kemudian.

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin meminta tindakan perundangan disegerakan terhadap kumpulan antivaksin yang berterusan menyebarkan berita palsu, mengancam nyawa dan menjengkelkan.

BACA: Khairy gesa kumpulan antivaksin disiasat, didakwa segera

Khairy turut memaklumkan bahawa KKM sudah mengambil langkah dengan membuat beberapa laporan polis terhadap golongan tersebut.