MELAKA: Kerajaan negeri akan memperkenalkan Anugerah Seri Melaka (ASM) bagi meraikan tokoh-tokoh anak Melaka yang berjaya serta menyumbang khidmat bakti di peringkat nasional mahupun di persada dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata anugerah tersebut akan diberikan kepada anak kelahiran Melaka yang mendapat pendidikan awal di negeri itu, seterusnya menjadi ikon dalam kategori masing-masing seperti sukan mahupun dalam dunia hiburan.

Beliau berkata ikon tersebut akan dipilih oleh jawatankuasa peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum dinilai oleh sebuah lagi jawatankuasa di peringkat negeri.

"Antara syaratnya termasuklah ikon tersebut mendapat pendidikan sekitar 1990-an di negeri ini sebelum penilaian dilakukan oleh tokoh-tokoh yang juga anak kelahiran Melaka yang menganggotai jawatankuasa pemilihan (peringkat negeri).

"Mereka yang mendapat markah tertinggi akan diberi anugerah tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Anugerah Hari Guru 2023, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, malam Isnin.

Ab Rauf berkata nama pemenang anugerah akan dipamerkan di seluruh sekolah-sekolah di Melaka bagi memberi inspirasi kepada murid dan pelajar untuk mencontohi mereka.

Dalam perkembangan berkaitan,katanya, kerajaan negeri juga akan melestarikan sejarah sekolah-sekolah di Melaka dengan mengangkat nama institusi pendidikan yang berasaskan nama tokoh tersohor.

Katanya, terdapat 29 sekolah menengah dan 13 sekolah rendah dikenal pasti berasaskan nama-nama tokoh kelahiran Melaka, justeru beliau menggalakkan institusi pendidikan berkenaan menjalankan kajian terperinci berkaitan tokoh-tokoh berkenaan di sekolah masing-masing.

"Tempoh kajian mesti disiapkan sebelum akhir tahun ini dan ganjaran wang tunai sebanyak RM5,000 akan diberikan kepada sekolah yang berjaya melakukan kajian terperinci tersebut.

"Saya akan panjangkan kepada Kementerian Pendidikan (mengenai inisiatif ini) agar ia turut dilaksanakan di negeri-negeri lain," katanya.

-- BERNAMA