MALAYSIA
Anwar beri penjelasan tidak hadir ke sidang Parlimen

Anwar berkata, sesi berkenaan merupakan mesyuarat berkala Majlis Raja-Raja yang antara lain membincangkan perkembangan semasa dalam dan luar negara. - Gambar/ Bernama
PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan ketiadaannya di Dewan Rakyat pagi tadi adalah bagi memenuhi titah Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghadiri sesi taklimat khas di Istana Negara.
Anwar berkata, sesi berkenaan merupakan mesyuarat berkala Majlis Raja-Raja yang antara lain membincangkan perkembangan semasa dalam dan luar negara termasuk persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini serta beberapa lawatan rasmi pemimpin dunia.
“Tadi perjumpaan Majlis Raja-Raja seperti biasa bagi perkembangan semasa termasuk lawatan pemimpin dunia berkenaan ASEAN pada Oktober, termasuk juga lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia... berhubung pendamaian Gaza yang dipersetujui oleh Presiden Trump, serta beberapa isu dasar lain termasuk persiapan Belanjawan 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis ASEAN Conference 2025: Future Ready Public Service pada Selasa. Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memaklumkan bahawa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) yang dijadualkan pagi Selasa terpaksa ditiadakan kerana Anwar dititah menghadap Majlis Raja-Raja pada jam 10 pagi.
Menurut Johari, dua soalan yang sepatutnya dijawab oleh Perdana Menteri masing-masing daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah, dan Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin akan dijadualkan semula.
Sidang hari ini diteruskan dengan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan (OQs) yang dimulakan lebih awal daripada jadual asal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami