KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani untuk menghentikan segala bentuk intimidasi kepada Rafizi Ramli.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) dilihat agak keterlaluan.

Katanya lagi, beliau hairan mengapa tiada sebarang tindakan diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad sedangkan laporan polis turut dibuat terhadap Ahli Parlimen Mersing itu.

“Tindakan pihak PDRM yang turut merampas telefon bimbit milik beliau (Rafizi) untuk tujuan siasatan terkait projek kapal tempur pesisir (LCS) juga agak keterlaluan.

“Langkah ini ternyata suatu intimidasi terhadap beliau dalam menentang gejala rasuah di negara ini seperti yang pernah berlaku kepada anak-anak muda dan mahasiswa dalam Himpunan Turun,” tegasnya lagi.

Anwar menegaskan, amalan dua darjat (siasatan polis) seperti itu tidak harus dilakukan, sebaliknya perlu benar-benar telus dalam menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan yang dikenakan.

Rafizi, yang juga Timbalan Presiden PKR,  telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 4.45 petang pada Sabtu.

Beliau dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaannya mengenai projek LCS membabitkan Dr Abdul Latiff.

Menurutnya, telefon bimbitnya dirampas pihak polis bagi membantu siasatan dan menurutnya, ia merupakan telefon bimbitnya yang kelima dirampas polis sejak tahun 2009.

“Polis merampas telefon untuk siasatan, itu proses biasa. Selalunya kalau ada kes bersabit dengan akta MCMC, selaunya polis akan ambil telefon sebagai bahan bukti,” katanya ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan.

Terdahulu, Rafizi berharap proses dilaluinya adalah permulaan kepada siasatan mendalam terhadap isu dibangkitkan beliau.