Skip to main content

Malaysia

Anwar gesa kempen sopan, elak politik angkuh

TB_ANWAR IBRAHIM SOLAT JUMAAT_AWANI
Anwar beramah mesra bersama jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah,Pekan Dengkil sebentar tadi. -Foto Astro AWANI
Advertisement

DENGKIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua parti politik supaya menjalankan kempen pilihan raya secara sopan dan berakhlak serta mengelakkan sikap angkuh dalam usaha meraih sokongan rakyat.

Beliau berkata pertandingan membabitkan tiga penjuru atau lebih merupakan perkara biasa dalam amalan demokrasi dan tidak seharusnya dijadikan polemik.

Menurutnya, apa yang lebih penting ialah semua pihak mengamalkan budaya politik matang dengan mengutamakan kesopanan dan saling menghormati.

Katanya, pihak yang memperoleh sokongan rakyat juga tidak seharusnya bersikap sombong atau memandang rendah terhadap pihak lain.

“Tiga ke enam ini lumrah dalam amalan demokrasi. Cuma biarlah kempen itu sopan, jaga akhlak dan jangan lupa daratan,” katanya.

“Bagi kita, khususnya dalam Pakatan Harapan, jangan tunjuk sombong, jangan kata tolak orang itu atau tolak orang ini. Kerjasamalah," katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, di sini, sebentar tadi.

Anwar berkata landskap politik negara ketika ini memerlukan semangat kerjasama dan pendekatan lebih sederhana demi kepentingan rakyat.

Beliau turut menggesa parti-parti dalam kerajaan, khususnya Pakatan Harapan (PH), supaya terus mendekati rakyat berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan.

Katanya, pencapaian kerajaan perlu diterjemahkan melalui usaha menyantuni masyarakat dan bukannya dijadikan alasan untuk bersikap angkuh

“Malaysia ini sudah begini rupanya. Ambillah sikap yang sederhana sedikit dan cuba layani serta santuni sebanyak mungkin masyarakat kita,” katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement