Anwar gesa negara anggota ASEAN ganda usaha realisasikan grid tenaga serantau

Anwar (foto) gesa negara ASEAN gandakan usaha realisasikan rangkaian grid tenaga serantau selaras dengan peralihan tenaga dan keperluan keselamatan bekalan serta kos mampu milik. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota ASEAN supaya menggandakan usaha mereka bagi merealisasikan rangkaian grid serantau yang saling berhubung, sejajar dengan peralihan tenaga ASEAN.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim gesa negara ASEAN gandakan usaha realisasikan rangkaian grid tenaga serantau selaras dengan peralihan tenaga dan keperluan keselamatan bekalan serta kos mampu milik.
- Di bawah kepengerusian Malaysia, ASEAN capai kemajuan penting termasuk pelaksanaan Fasa 1 APAEC dan MoU Dipertingkat mengenai Grid Tenaga ASEAN sebagai panduan dasar masa depan.
- Malaysia sokong pelaksanaan APG dan terlibat dalam Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura bagi perdagangan tenaga pelbagai hala dan pengurangan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Anwar berkata demikian dalam ucap tama pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 dan Mesyuarat Berkaitannya serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini, rantau ini telah mencapai keputusan penting dalam sektor tenaga termasuk pelaksanaan Fasa Satu Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) dan pengesahan Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkat mengenai Grid Tenaga ASEAN (APG).
Beliau berkata keputusan terbabit yang menandakan kemajuan penting dalam integrasi serantau dan peralihan tenaga, akan menjadikan APAEC sebagai panduan dasar ASEAN untuk masa akan datang, dengan menetapkan hala tuju yang jelas untuk mengembangkan tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan dan mengukuhkan sambungan serantau.
"Ia turut meletakkan kesaksamaan sebagai fokus utama dalam peralihan kita. Ia memastikan setiap negara anggota maju mengikut kadar masing-masing ke arah masa depan tenaga yang rendah karbon, lestari dan bersepadu," kata beliau.
Anwar berkata APG merupakan tonggak utama dalam visi tenaga ASEAN, yang mencerminkan aspirasi rantau ini untuk menghubungkan sistem kuasa, berkongsi sumber dan memperkukuh daya tahan melalui kebergantungan bersama.
"Dengan ini kita dapat memanfaatkan potensi tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, memastikan tenaga elektrik yang boleh dipercayai serta berpatutan merentasi sempadan," katanya.
Anwar berkata Malaysia telah lama menyokong pelaksanaan APG dan negara ini merupakan sebahagian daripada Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura, yang telah membolehkan perdagangan tenaga secara pelbagai hala.
Perdana Menteri berkata persiapan untuk sambungan antara Vietnam-Malaysia-Singapura sedang giat dijalankan, selain kerja-kerja lanjut di bawah kerangka Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina.
"Rangkaian grid yang saling bersambung mengukuhkan integrasi serantau, menarik pelaburan hijau, mewujudkan pekerjaan berkualiti serta menjadikan ASEAN sebagai hab bagi industri dan teknologi tenaga bersih," kata beliau.
Namun, Anwar berkata hasrat berkenaan berdepan dengan cabaran dari segi penyelarasan peraturan, pembiayaan infrastruktur dan memastikan tadbir urus yang berkesan.
Cabaran berkenaan, kata beliau sememangnya besar namun mampu diatasi dengan adanya kepercayaan, kesungguhan dan kemahuan politik.
Sehubungan dengan itu, Anwar menggesa negara anggota ASEAN untuk mempergiat usaha dalam mempercepat projek sambungan, menyelaras kerangka peraturan dan memperkukuh kerjasama awam-swasta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami