PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dikaji semula kerana ia memberikan kerumitan dan cabaran kepada industri minyak sawit.

Semasa sidang media bersama dengan Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier yang sedang dalam rangka lawatan ke negara ini di Perdana Putra di sini, hari ini, Anwar berkata Malaysia menghadapi sedikit kesukaran dalam siri rundingan dengan Kesatuan Eropah (EU) untuk membincangkan perkara itu.

"Untuk berlaku adil kepada rantau ini, kami telah mengambil semua langkah yang perlu, melakukan penghutanan semula, termasuk kawasan tanah gambut, oleh itu mereka tidak sepatutnya melaksanakan peraturan yang terlalu ketat," katanya.

EU telah menggubal EUDR pada 6 Dis 2022. Peraturan itu mengkehendaki semua syarikat berkaitan untuk mematuhi penilaian wajar mandatori sekiranya mereka mahu menjual produk mereka di pasaran EU.

Syarikat juga dikehendaki membuktikan produk mereka bebas penebangan hutan dan menyediakan maklumat geografi yang tepat di mana sumber komoditi itu didapatkan.

Anwar menegaskan Malaysia komited kepada isu perubahan iklim dan menyuarakannya menerusi persefahaman dan rundingan.

Sementara itu, perdana menteri berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah melahirkan hasrat untuk mengembangkan eksport gas asli cecairnya (LNG) ke Jerman.

"Saya meminta presiden (Steinmeier) agar memastikan (minat) itu dipertingkat," katanya.

Petronas aktif membekalkan kargo LNG ke United Kingdom dan Eropah.

Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dari EU. Pada 2022, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 10.9 peratus kepada US$13.62 bilion (RM59.87 bilion) berbanding AS$13.03 bilion (RM53.99 billon) pada 2021.

-- BERNAMA