MALAYSIA
Anwar jemput PM Thailand baharu ke Malaysia

Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata jemputan itu beliau sampaikan kepada Anutin semasa perbualan mereka menerusi panggilan telefon hari ini. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Perdana Menteri Thailand yang baharu Anutin Charnvirakul untuk melakukan kunjungan ke Malaysia selepas beliau memulakan tugas secara rasmi.
Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata jemputan itu beliau sampaikan kepada Anutin semasa perbualan mereka menerusi panggilan telefon hari ini.
"Kunjungan (Anutin) itu antaranya bagi mempererat hubungan baik kedua-dua negara berjiran.
"Kami membincangkan mengenai perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja. Saya menekankan penting bagi semua pihak mengekalkan ketenteraman dan tidak membiarkan sebarang perbezaan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu," katanya.Anwar turut menyeru agar segala isu yang timbul dibawa ke meja rundingan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).
"Malaysia percaya bahawa semangat dialog, diplomasi dan persefahaman adalah jalan terbaik untuk menjamin keamanan dan kestabilan serantau," katanya.
Anutin, 58, yang merupakan ketua parti Bhumjaithai, secara rasmi memegang jawatan Perdana Menteri Thailand ke-32 pada 7 Sept lepas setelah menerima perkenan diraja sekali gus menandakan lembaran baharu dalam kepimpinan politik negara itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami