PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio Kishida pada Sabtu menegaskan semula bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu segera membuat pembaharuan untuk memperkukuh lagi fungsi badan dunia itu.

Dalam satu kenyataan bersama selepas pertemuan dua hala di Tokyo yang diadakan di luar Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, kedua-dua pemimpin menyatakan bahawa pembaharuan itu, termasuk Majlis Keselamatan untuk memastikan ia dapat mencerminkan realiti geopolitik abad ke-21.

Kedua-dua pemimpin juga menekankan kepentingan untuk Majlis Keselamatan PBB memperkuat keberkesanan, ketelusan dan keterangkuman melalui penambahan dalam keahlian tetap dan tidak tetap.

"Perdana Menteri Kishida merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Malaysia terhadap pencalonan Jepun untuk keahlian tetap dalam Majlis Keselamatan PBB.

"Perdana Menteri Anwar menyuarakan harapan Jepun akan memberikan sokongan untuk pencalonan Malaysia sebagai ahli tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk tempoh 2036-2037," menurut kenyataan itu.

Anwar dan Kishida juga mengesahkan bahawa mereka akan terus bekerjasama dalam isu-isu seperti konflik Israel-Palestin, situasi di Ukraine, isu penculikan Korea Utara dan program nuklear dan peluru berpandu, situasi di Myanmar serta pelucutan dan pengawalan senjata nuklear dan penggunaan tenaga nuklear secara aman.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan mengenai pentingnya untuk semua pihak yang berkaitan mengambil pendekatan secara lebih terkawal dalam menangani isu Laut China Selatan dan Timur serta mencari penyelesaian pertikaian dengan aman berdasarkan prinsip-prinsip yang diiktiraf undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

"Kedua-dua pemimpin bertukar pandangan dan menyuarakan kebimbangan mengenai situasi di Laut China Selatan dan Timur.

"Kedua-dua pemimpin mengesahkan semula kepentingan untuk mengekalkan keamanan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan pelayaran serta penerbangan di Laut China Selatan," menurut kenyataan itu.

Mengenai ASEAN, kedua-dua pemimpin memutuskan untuk meneruskan sinergi antara "Free and Open Indo-Pacific" dan "ASEAN Outlook on the Indo-Pacific" sambil menghormati pemusatan dan perpaduan ASEAN.

Kedua-dua pemimpin menyambut baik program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta bagi memperingati ulang tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun yang mencerminkan komitmen kukuh ASEAN dan Jepun dalam hubungan dialog.

"Kedua-dua pemimpin berharap untuk memperkukuh perkongsian mereka yang telah lama terjalin serta memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini," menurut kenyataan itu.

Kishida turut menyambut baik rancangan Malaysia untuk menubuhkan sebuah agensi kerjasama antarabangsa yang bebas dan mengesahkan untuk menyokong latihan teknikal kepada pegawai Malaysia bagi penubuhan agensi itu melalui JICA.

Kedua-dua pemimpin menyatakan hasrat mereka untuk terus bekerjasama sebagai rakan pembangunan global demi manfaat bersama kedua-dua negara, rantau itu dan selainnya.

"Kedua-dua pemimpin mengesahkan semula komitmen mereka terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini dan seterusnya selain mempertahankan undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA