Skip to main content

Malaysia

Anwar nafi abai kepentingan Bumiputera, dedah 50 ekar tanah rizab Melayu baharu diwujudkan di Kuala Lumpur

GEMAS, 27 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajuddin, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar (foto) berkata cadangan itu dipersetujui Jemaah Menteri tanpa sebarang bantahan, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera. -Foto Bernama
Advertisement

TAMPIN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan kononnya Kerajaan MADANI tidak menjaga kepentingan Bumiputera, khususnya masyarakat Melayu.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk mewujudkan tanah rizab Melayu baharu di Kuala Lumpur yang menurutnya kali pertama dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

“Sejak merdeka tahun 1957, tidak ada tanah rizab Melayu baharu di Kuala Lumpur. Yang ada semua yang dijual.

"(Apabila) saya ambil alih tahun 2022, (kemudian) 2023, kita rampas tanah Bandar Malaysia 480 ekar.

“Jadi milik negara China dan syarikat (swasta) saya rampas sebab dia langgar peraturan.

"Dan bila saya rampas, saya ambil alih untuk dijaga oleh Petronas dan Khazanah dan dalam kawasan itu, 50 ekar (20 hektar) saya buat rizab (tanah Melayu), tanah yang paling berharga di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Malek Razak Sulaiman; dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman.

Mengulas lanjut, Anwar berkata cadangan itu turut dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri selepas terlebih dahulu dimaklumkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

“Saya bawa kepada Kabinet. Sebelum itu saya maklum kepada Anthony Loke. Saya kata, ‘This is my proposal’.

“Dia cuma tanya mengapa. Saya kata, sebab tanah Melayu di Kuala Lumpur itu makin mengecil. 'It’s my duty to give the clear signal'. Dia kata okey,”jelasnya.

Anwar berkata, jika perkara itu tidak pernah dilakukan sebelum ini, beliau meminta perkara tersebut ditanyakan kepada pihak lain yang selama ini lantang berbicara mengenai isu Melayu.

Beliau berkata cadangan itu akhirnya dipersetujui Jemaah Menteri tanpa sebarang bantahan, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera.

 

Must Watch Video

Advertisement