TOKYO: Gempa bumi berukuran 5.7 magnitud melanda tengah Jepun pada awal pagi Ahad, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang cedera di Wilayah Aichi, lapor Kyodo News yang memetik pihak berkuasa.
Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan, gempa bumi pada 1.04 pagi itu berpusat di barat Wilayah Shizuoka pada kedalaman kira-kira 40 kilometer dan mencatatkan bacaan 5.0 pada skala intensiti seismik Jepun di Chita, Wilayah Aichi.
Kerajaan menubuhkan sebuah pejabat perhubungan bagi menyelaras tindak balas terhadap gempa bumi itu.
Agensi berkenaan memaklumkan, gempa bumi itu tidak menimbulkan risiko tsunami.
Gegaran dilaporkan turut dirasai di beberapa wilayah berhampiran termasuk Gifu, Nagano dan Yamanashi.
Di Wilayah Aichi, jabatan bomba melaporkan dua individu di Bandar Toyota dipercayai cedera susulan gegaran itu.
Pihak berkuasa menggesa penduduk di kawasan terjejas supaya terus berwaspada terhadap aktiviti seismik susulan, sambil memberi amaran bahawa gempa susulan mungkin berlaku dalam beberapa hari akan datang.
Sementara itu, perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen antara Tokyo dan Iwate terganggu, namun pengendali kemudian memaklumkan perkhidmatan telah disambung semula.
Jepun terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang sering mengalami aktiviti gempa bumi dan gunung berapi.
-- BERNAMA-KYODO