LINGGI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan kerajaan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji, sambil menegaskan langkah itu dibuat selepas usaha pemulihan institusi berkenaan dilaksanakan bagi mengelakkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit.
Beliau berkata, laporan RCI itu sebenarnya telah siap beberapa tahun lalu, namun kerajaan ketika itu memilih untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu Tabung Haji melaksanakan langkah pemulihan terlebih dahulu.
Anwar berkata, beliau dimaklumkan bahawa pendedahan laporan berkenaan pada ketika itu berpotensi mencetuskan panik dalam kalangan pencarum sekiranya keadaan sebenar institusi tersebut diumumkan tanpa penerangan mengenai langkah pembaikan yang sedang dijalankan.
"Laporan itu dah keluar tiga tahun. Bukan dibuat oleh saya, dibuat oleh kerajaan sebelum saya.
"Bila sampai kepada saya, pengurusan Tabung Haji ketika itu meminta supaya diberikan sedikit masa kerana mereka sedang melaksanakan proses pemulihan," katanya dalam satu program di Linggi, pada Khamis.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan kerajaan tidak menghalang perbahasan mengenai laporan tersebut dan telah memberi ruang kepada semua Ahli Parlimen untuk membincangkannya di Dewan Rakyat.
"Saya bercakap dengan Speaker Dewan Rakyat, kita benarkan semua Ahli Parlimen yang mahu berbahas supaya berbahas. Baca dahulu laporan itu dan bahas di Parlimen," katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI membabitkan soal amanah dan tadbir urus institusi yang menguruskan simpanan umat Islam, bukannya polemik politik semata-mata.
Menurut beliau, pelbagai agensi termasuk badan penguat kuasa dan pihak berkaitan telah diminta mengambil tindakan susulan berdasarkan dapatan yang terkandung dalam laporan berkenaan.
Anwar berkata kerajaan kekal berpegang kepada prinsip ketelusan dan membenarkan laporan itu dinilai secara terbuka oleh rakyat serta dibahaskan melalui saluran demokrasi di Parlimen.
"Saya kata, buka biar orang baca. Nak bahas di Parlimen, buka di Parlimen. Bincang di Parlimen. Biar rakyat dengar," katanya lagi.