Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah mendakwa bahawa terdapat 40,000 warga Bangladesh telah didaftarkan sebagai pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Malah, Anwar berkata isu pendaftaran 40,000 warga Bangladesh adalah hanya tuduhan dan tohmahan Barisan Nasional (BN).

Anwar turut menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memperdaya Parlimen dengan penipuan tersebut.

“Kami telah menyemak di mana ada disebut tentang pendaftaran 40,000 warga Bangladesh dan kami langsung tidak jumpa bila-bila masa saya mendakwa sebegitu.

"Apa yang kami katakan ialah mengenai pengundi yang dibawa menggunakan pesawat dari Sabah dan Sarawak.

"Tuduhan tersebut sengaja diadakan dan cuba diputarbelitkan oleh penulis-penulis blog Umno," katanya dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Anwar menjelaskan pihaknya mempunyai bukti dalam bentuk gambar foto serta dokumen yang menunjukkan 16 penerbangan ditempah khas dari Semenanjung Malaysia setiap hari ke beberapa lokasi di Malaysia Timur.

Pada 2 Mei lalu, Anwar mendakwa sekurang-kurang 40,500 orang diterbangkan menaiki penerbangan yang ditempah khas dengan kebanyakan penumpang dipercayai terdiri daripada warga asing.

"Soalan saya, bagaimana mereka ini boleh didaftarkan sebagai pengundi awal, bersama-sama dengan anggota polis dan tentera.

"Najib melemparkan persoalan itu ke tepi sebaliknya beliau meminta Perdana Menteri Bangladesh menafikan kewujudan 40,000 pengundi Bangladesh.

"Bagaimana Perdana Menteri Bangladesh tahu? Ini adalah satu isu domestik yang seharusnya dipantau oleh SPR," katanya.

Ketika pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober, Najib berkata peruntukan tidak termasuk untuk 40,000 rakyat Bangladesh yang dibawa masuk sebagai pengundi hantu ketika PRU13 seperti yang didakwa pembangkang.