Skip to main content

Malaysia

Anwar tinjau Pos Dogoton, tegaskan keselamatan sempadan utara Sabah keutamaan kerajaan

Anwar Ibrahim
Anwar meninjau Pos Dogoton bagi melihat tahap kesiapsiagaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Filipina. - Gambar/ FB Anwar Ibrahim

KUDAT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja ke Pulau Banggi, Sabah dengan mengunjungi Pos Dogoton bagi meninjau tahap kesiapsiagaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Filipina.

Beliau berkata lawatan itu dibuat sebaik selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina dan bertujuan memastikan kawalan keselamatan di perairan utara Sabah sentiasa berada pada tahap optimum.

“Pos Dogoton adalah antara pos keselamatan hadapan yang berperanan penting dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara, khususnya dalam mengawal ancaman pencerobohan, penyeludupan serta pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Anwar berkata beliau diberikan taklimat berhubung pelaksanaan operasi keselamatan di kawasan berkenaan sebelum dibawa meninjau kawasan kepulauan berhampiran serta melihat sendiri pengoperasian radar yang menjadi aset utama pemantauan keselamatan di sempadan perairan negara.

Menurut beliau, penugasan pasukan keselamatan di kawasan terpencil dengan keadaan muka bumi dan cuaca yang mencabar menuntut ketahanan mental, disiplin dan semangat juang yang tinggi.

“Penghargaan tertinggi saya ucapkan kepada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan di Pos Dogoton atas komitmen menjaga kedaulatan tanah air dalam keadaan serba mencabar,” katanya.

Beliau berkata keteguhan, keberanian serta kesiapsiagaan anggota keselamatan mempertahankan setiap inci perairan negara daripada sebarang ancaman merupakan satu bentuk pengorbanan besar yang jarang terlihat, namun menjadi benteng utama kepada keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Must Watch Video