Skip to main content

Malaysia

Anwar zahir solidariti kepada Indonesia susulan bencana gunung berapi, jerebu

[TB]_Joko Widodo Anwar Ibrahim_FB ANWAR IBRAHIM
Anwar memohon maaf kerana tidak dapat menyantuni Jokowi secara langsung di Pulau Pinang berikutan program bersama dengan petani, penternak, peladang dan komuniti pertanian pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadualkan lebih awal. -Foto Facebook
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan solidariti kepada rakyat Indonesia susulan bencana gunung berapi dan cabaran jerebu yang sedang dihadapi negara berkenaan.

Anwar berkata perkara itu disampaikan beliau ketika menghubungi bekas Presiden Indonesia Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, yang kini berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Dialog Keamanan Pulau Pinang.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Anwar berkata perbualan yang berlangsung dalam suasana mesra itu turut menyaksikan kedua-dua pemimpin bertukar khabar.

Anwar turut memohon maaf kerana tidak dapat menyantuni Jokowi secara langsung di Pulau Pinang berikutan program bersama dengan petani, penternak, peladang dan komuniti pertanian pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadualkan lebih awal.

“Malaysia dan Indonesia bukan sekadar negara jiran, tetapi dua bangsa serumpun yang diikat sejarah, budaya dan persaudaraan yang akrab.

“Amanah dan kedudukan boleh silih berganti, namun persahabatan dan rasa hormat akan terus kekal,” kata beliau sambil menegaskan bahawa ikatan itu akan terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara serta kemakmuran rantau ini.

Menurut laporan berita agensi nasional ANTARA, Jokowi menghadiri Dialog Keamanan Pulau Pinang yang berlangsung di George Town serta menyampaikan pandangannya tentang peranan pemimpin dan rakyat dalam membina asas keamanan pada majlis makan malam gala, semalam.

Bekas Presiden ketujuh Indonesia itu juga menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan, hari ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement