KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menegur Pejabat Peguam Negara (AG) dan kementerian berkaitan agar terlebih dahulu melakukan semakan penggunaan bahasa dalam teks Rang Undang-Undang (RUU) sebelum dibentangkan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, teguran itu dibuat bagi mengelakkan berlaku kekeliruan sehingga keabsahannya boleh dipertikaikan kelak.

"Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Rasah. Ini satu perspektif, RUU dibahas di dalam dewan ini, tetapi kalau kita lihat dalam teks bahasa Melayu, ada bahasa Inggeris. Yang Berhormat lihat apa beza antara sheep (biri-biri) dan goat (kambing). Sheep dalam bahasa Melayu itu apa, goat dalam bahasa Melayu itu apa?

“Saya mohon pihak kementerian (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)) mengambil maklum terutama sekali pihak Jabatan Peguam Negara bahagian merangka.

“Sebelum teks RUU berwarna biru ini dibentang, tolonglah semak betul-betul. Kita hendak keabsahan di dewan ini. Sila ambil maklum pihak Jabatan Peguam Negara dan kementerian yang bertanggungjawab tentang RUU dan pembentangan dalam dewan ini,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) membangkitkan perkara itu ketika membahaskan RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 yang dibentangkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Jelas Kee Chin, pemerkasaan bahasa kebangsaan sepatutnya selari dengan agenda yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sebelum saya pergi kepada isi kandungan perbahasan. Saya ingin membuat teguran mungkin bukan kepada MAFI tetapi Pejabat Peguam Negara sebab saya nampak dalam versi yang diserah kepada ahli Yang Berhormat terdapat versi bahasa Melayu dan Inggeris.

"Dalam versi bahasa kebangsaan sepatutnya jadual ketiga yang menggariskan keenam-enam jenis ternakan yang dimasukkan untuk dibincangkan yang menjadi perkara subjek pada perbahasan hari ini sepatutnya ditulis dalaman bahasa kebangsaan.

"Walaupun tadi saya dengar Timbalan Menteri (MAFI) menggunakan bahasa kebangsaan tetapi Pejabat Peguam Negara nampaknya tidak melaksanakan apa yang telah digariskan atau diniatkan oleh Perdana Menteri yang mahu martabatkan bahasa kebangsaan kita,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah ketika menggulung RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 menegaskan, sebarang penggubalan RUU dilakukan dengan teliti dan mematuhi peruntukan undang-undang.

"Semua penggubalan RUU perlu dikemukakan dahulu kepada Jabatan Peguam Negara untuk tujuan semakan dan kelulusan. Dalam hal ini RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah pun digubal berdasarkan kepada keputusan dasar kementerian dan mematuhi semua keperluan undang-undang.

"Ketika diwartakan di sini, RUU FAMA oleh Pejabat Peguam Negara telah dibuat dengan begitu teliti sekali selaras dengan format penggubalan undang-undang yang mantap, yang juga digunakan dalam semua penggubalan RUU yang dikemukakan dalam Parlimen," katanya.