GEORGE TOWN: Kerajaan sedang mempertingkatkan usaha untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor melalui program MyChipStart, yang bertujuan memupuk syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata inisiatif itu berteraskan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Advertisement
Beliau berkata inisiatif tersebut mengutamakan aktiviti huluan seperti semikonduktor dan reka bentuk IC melangkaui kelebihan tradisional Malaysia dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan.
“Reka bentuk IC merupakan bidang yang sangat kompleks dan berintensifkan modal, melibatkan peralatan automasi reka bentuk elektronik (EDA) yang mahal, tenaga kerja mahir serta kos tinggi untuk merealisasikan cip daripada konsep kepada prototaip, yang boleh mencecah sehingga US$100 juta (US$1 = RM3.98).
“Ini menjadi cabaran besar bagi syarikat pemula niaga,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program MyChipStart di sini hari ini.
Sim berkata program itu akan dilaksanakan mengikut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan peruntukan tahunan sekitar RM17 juta bagi menyokong syarikat tempatan di pelbagai peringkat pembangunan, daripada idea hingga pengesahan dan pengujian.
Sokongan itu akan merangkumi akses kepada perisian EDA yang mahal serta kemudahan bersama di Penang Silicon Design @5km+ yang terletak di Bayan Lepas, di sini, katanya.
Beliau berkata semua kemudahan itu ditempatkan secara berpusat dan dikongsi antara syarikat yang layak, bukannya dimiliki secara individu, untuk memastikan penggunaan sumber secara cekap.
Syarikat juga perlu melalui proses penilaian termasuk pembuktian konsep serta daya maju pasaran sebelum menerima sokongan tersebut, katanya.
Sim berkata pada masa ini, Malaysia hanya mempunyai kira-kira 20 hingga 30 syarikat reka bentuk IC, sekali gus menunjukkan keperluan untuk mengembangkan ekosistem dan mewujudkan lebih banyak juara tempatan dalam sektor tersebut.
Beliau berkata MyChipStart bukan sekadar inisiatif pembiayaan malah juga intervensi strategik nasional untuk mengurangkan halangan kemasukan, memangkinkan pelaburan domestik dan memperkukuh rantaian bekalan semikonduktor negara.
“Matlamat kita adalah untuk membina generasi juara semikonduktor tempatan yang baharu, dan ketika ini Malaysia masih banyak bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor semikonduktor. Kita perlu meningkatkan pemilikan harta intelek (IP) domestik bagi memastikan daya saing jangka masa panjang.
“Apabila memiliki IP, kita memastikan kekayaan yang dijana oleh bakat Malaysia kekal di dalam negara dan mengukuhkan kedudukan kita dalam industri semikonduktor global,” katanya.
-- BERNAMA