Penyampai berita Marlina Manaf menunjukkan cara menyampaikan berita kepada seorang anak yatim.

Pada 19 Julai 2013, Astro AWANI and Bursa Malaysia sekali lagi meraikan anak-anak yatim sempena bulan Ramadan. Seperti tahun sebelum ini, anak-anak ini akan dibawa melihat operasi bilik berita Astro AWANI. Mereka dapat melihat secara dekat bagaimana rancangan berita diterbitkan. Mereka berpeluang berbual dengan wartawan, personaliti AWANI dan cuba untuk menyampaikan berita menggunakan teleprompter dan melihat diri mereka di monitor TV.

Mereka bukan sahaja seronok mencuba tetapi peluang ini juga digunakan untuk bergurau senda bersama rakan-rakan lain selepas melihat percubaan mereka menyampaikan berita.

Wartawan Syafique Syuib bersama pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Yayasan Sofa, Negeri Sembilan

Ada di antara mereka bertanya apakah kelayakan yang diperlukan untuk menjadi seorang wartawan. Ada juga yang peramah, berkongsi cerita tentang subjek kegemaran mereka. Bagaimana pun ramai yang agak malu atau mungkin berasa rendah diri kerana agak mendebarkan dada apabila melihat abang dan kakak yang mereka lihat di kaca TV, tercegat di depan mereka.

Ramai yang saya lihat begitu tertarik melihat operasi bilik berita dan mereka sukakan teknologi dan gajet. Pengalaman ini tentu sekali akan terus kekal dalam ingatan dan akan menjadi inspirasi yang bakal mendorong mereka untuk belajar, mengejar cita-cita dan mengubah nasib diri. Mungkin satu hari nanti ada yang menjadi wartawan, pengarah atau jurutera.

Mungkin apa yang perlu ialah pertalian yang berterusan bukan sahaja di bulan Ramadan antara anak-anak yatim dan pihak yang mahu membantu.

Wartawan Hakim Abdul Rahman berkongsi pengalaman

Ini telah mula dilakukan oleh ramai anak muda. Mereka telah pergi dan membantu anak-anak yatim dalam bidang pelajaran pada hujung minggu. Mereka juga mendermakan bahan bacaan. "Teach for the Needs" adalah satu contoh yang baik. Mereka terdiri daripada sukarelawan muda yang membantu anak-anak yang memerlukan bimbingan dalam pelajaran. Beberapa orang rakan wartawan turut serta melawat rumah-rumah anak yatim dan mengajar pelbagai subjek.

Selepas melawat bilik berita Astro AWANI mereka di bawa ke Bursa Malaysia untuk berbuka puasa. Anak-anak ini berpeluang mengenali pekerja-pekerja Bursa Malaysia dari pelbagai latarbelakang dan ini mededahkan mereka kepada contoh insan yang berjaya dalam bidang pengurusan, kewangan dan juga pelaburan.

Mendapatkan pengalaman berharga bersama Hans Yusoff

Pelbagai juadah menyelerakan termasuk kambing golek, gulai ayam dan daging masak lemak dihidangkan. Sebaik sahaja berbuka puasa, saya dan rakan-rakan dapat melihat anak-anak yang diraikan ini terus ke meja yang menghidangkan ayam goreng KFC dan juga pizza.

Apabila ditanya mengapa mereka begitu menggemari ayam goreng dan pizza, mereka berkata, sering melihat iklan di TV tetapi jarang dapat merasanya.

Saya sempat bertanya seorang pelajar anak yatim apa yang sangat menyeronokkan sepanjang hari di Astro AWANI dan Bursa Malaysia?

Katanya, dapat melihat “orang pandai bekerja”.

Lalu saya bertanya kepada diri sendiri, mungkin meraikan anak-anak yatim dengan hiburan yang berlebih-lebihan bukan apa yang mereka mahu malah adakalanya ia satu kejutan budaya yang besar bagi mereka.

Apa yang anak yatim mahu? Mereka mahukan perhatian, “role model”, dan abang atau kakak yang berjaya dalam kerjaya masing-masing yang dapat membimbing mereka.

Mungkin kita harus menukar cara kita meraikan mereka pada bulan Ramadan? Mengapa aktiviti mulia ini terhad pada bulan Ramadan sahaja?