BANGKITLAH, JANGAN BIARKAN NEGARA RUGI BERBILION RINGGIT LAGI

1. Sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa pada 9 Disember 2021, #RasuahBusters mengajak rakyat di setiap peringkat berganding tenaga dan sumber untuk benar-benar menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas daripada rasuah.

2. Amalan rasuah yang berterusan, jika tidak ditangani dengan segera dan holistik, berisiko melandaikan lengkuk pertumbuhan ekonomi dengan lebih cepat dan serius. Oleh itu, rakyat perlu bangkit untuk menjadikan memerangi rasuah itu sebagai jihad, tidak kira saiz rasuah yang ditawar, diberi dan diterima.

3. Dengan anggaran kerugian kepada negara sebanyak RM40 bilion hingga RM60 bilion setiap tahun akibat rasuah, tidak berintegriti, amalan konflik kepentingan diri dan tidak telus, sebagaimana dilaporkan oleh pelbagai badan termasuk Transparency International Malaysia, impak rasuah kepada pertumbuhan ekonomi ternyata suatu realiti yang pahit untuk ditelan.

4. Jumlah kerugian dunia setiap tahun kerana rasuah dianggarkan AS$2.6 trilion (hampir RM11 trilion). Menurut Global Financial Integrity Report 2017, antara tahun 2005 hingga 2014, Malaysia telah kehilangan RM1.8 trillion menerusi aliran kewangan tidak sah, yang mana sebahagian daripadanya berpunca daripada amalan rasuah. Jumlah RM1.8 trilion tersebut dapat digunakan bagi menyediakan lima Bajet 2022 untuk rakyat dan kita akan ada lebih banyak dana untuk dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat.

5. Mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pernah merumuskan bahawa sehingga 30% daripada nilai projek awam Malaysia hilang akibat salah urus dan rasuah. Bermakna negara boleh menjimatkan sehingga RM400 bilion jika kita membayar 30% kurang untuk barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kontraktor dan vendor dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

6. Ketua Pasukan Teras #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa kali ini, Rasuah Busters mahu rakyat mengambil ikrar untuk memastikan negara tidak lagi kerugian berbilion ringgit akibat rasuah, isu integriti, amalan konflik kepentingan diri dan ketidaktelusan.

7. Kata beliau, data dan fakta menunjukkan negara telah kehilangan berbilion ringgit, dan kemungkinan ia telah mencecah trilion ringgit mengambil kira "ekonomi gelap" atau "black economy" yang dianggarkan sekitar 26% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

8. Kata beliau, mengelak ketirisan dan penjimatan berbilion ringgit akan membantu negara meningkatkan taraf sosioekonomi negara, termasuk kemudahan kesihatan dan pendidikan bermutu yang amat diperlukan pada hari ini.

9. "Rakyat dan negara telah menerima pelbagai impak ketara akibat rasuah yang berleluasa. Kita tidak harus membiarkan perkara ini berlarutan. Rakyat perlu bangkit untuk menghentikan rasuah, jika tidak, rakyat yang akan berhadapan persekitaran yang malang," kata Datuk Hussamuddin.

10. Beliau berkata, sejak ditubuhkan 10 bulan yang lalu, kempen #RasuahBusters telah berjaya membawa perubahan yang ketara dalam kalangan rakyat dengan mesej mengenai kepentingan menjauhi dan memerangi rasuah di semua peringkat, dengan sokongan lebih 400 entiti yang menganggotai Coalition of the Willing Rasuah Busters.

11. Kata beliau, juga sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa pada 9 Disember 2021, #RasuahBusters mengeluarkan klip video "Mak Kata Jangan" siri kedua hari ini. Inisiatif ini adalah susulan penerimaan luar biasa daripada rakyat ke atas klip pertama yang dikeluarkan bulan Mac lalu.

12. Selain itu, Konvoi #RasuahBusters yang membawa misi #MalaysiaTanpaRasuah ke seluruh Negara bermula 9 Disember 2021 hingga 1 April 2022, akan dilancarkan pada 9 Disember 2021. Konvoi #RasuahBusters adalah siri jelajah ke seuruh negara bagi menyampaikan mesej antirasuah agar rakyat cakna menentang segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa.

13. Datuk Hussamuddin juga berharap rakyat akan memulakan tindakan proaktif di peringkat masing-masing, walaupun kecil, untuk menolak rasuah dan mengatakan "tidak kepada rasuah", sekali gus membantu negara dan rakyat tidak lagi kehilangan berbilion ringgit.

DIKELUARKAN OLEH:
#RASUAH BUSTERS

Rasuah Busters | 'Mak kata jangan..'