SETELAH pembelian WhatsApp pada 2014, pengasas Facebook Mark Zuckerberg melebarkan empayarnya dengan pembelian aplikasi terkenal 'Masquerade'.

Lebih dikenali sebagai MSQRD, aplikasi itu membenarkan pengguna untuk menukar wajah mereka atau dikenali sebagai face swap.

Zuckerberg membuat pengumuman itu di laman Facebook beliau, dengan menggunakan filter watak adiwira terkenal, Iron Man.

“Tidak ... saya tidak mereka kostum Iron Man. Saya menggunakan aplikasi Masquerade yang membolehkan anda untuk meletakkan filter untuk video anda.

“Hari ini saya teruja untuk kongsi bahawa pasukan Masquerade akan bekerja di Facebook,” katanya.

Taking a break from coding to welcome the MSQRD team to Facebook!

Posted by Mark Zuckerberg on

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masquerade Eugene Nevgen dalam satu catatan di blognya teruja dengan keputusan ini kerana Facebook mempunyai pengikut yang ramai.

“Kami dapat membawa teknologi kami kepada pengguna Facebook berjumlah hampir 1.6 bilion orang. Kita tidak pernah membayangkan akan mencapai skala sebesar ini,” kata Nevgen.

Beliau turut berkata walaupun mereka dalam proses pemindahan teknologi ke Facebook, tiada perubahan drastik akan berlaku dalam aplikasi itu.

“Kita akan menambah ciri-ciri yang seronok kepada pengguna,” katanya lagi.