Ringkasan AI
- Adam Adli Abd Halim menyifatkan serangan peribadi terhadap calon muda PRN Melaka ke-16 sebagai budaya politik tidak produktif.
- Beliau menegaskan golongan muda berupaya memimpin dan tidak perlu menunggu usia tertentu untuk diberi peluang kepimpinan.
- Adam Adli menggesa pengundi menilai kemampuan serta tawaran calon, termasuk generasi muda, pada PRN Melaka ke-16 yang berlangsung 14 November.
BUKIT BARU: Serangan peribadi dan tindakan merendahkan calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 disifatkan sebagai budaya politik yang tidak produktif.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, serangan sedemikian hanya menjejaskan usaha menggalakkan lebih ramai anak muda tampil dalam kepimpinan politik.
Menurutnya, beberapa calon muda turut menerima serangan berbentuk peribadi ketika mereka mula mendapat perhatian masyarakat.
"Kita ambil sebagai satu sikap yang sebenarnya tidak produktif, terutama sekali dalam kita membangunkan, meyakinkan dan memberi peluang kepada golongan muda untuk memimpin dalam masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pakatan Harapan (PH) di Bukit Baru, di sini, pada Sabtu.
Adam Adli berkata, golongan muda tidak seharusnya perlu menunggu sehingga mencapai usia tertentu sebelum diberikan peluang memegang tanggungjawab kepimpinan.
Katanya, PH percaya generasi muda bukan sekadar pelapis masa depan, sebaliknya mempunyai keupayaan untuk memimpin pada masa kini.
"Kita bercakap soal orang muda pemimpin masa hadapan. Tapi di Pakatan Harapan, kita percaya pada kekuatan dan keupayaan mereka untuk memimpin hari ini.
"Tak perlu tunggu sampai mereka berusia baru mereka diberi peluang," katanya.
Justeru, beliau menggesa pengundi khususnya golongan muda supaya menilai kemampuan serta tawaran calon yang diketengahkan pada PRN kali ini.
Menurutnya, pilihan raya perlu menjadi ruang untuk masyarakat menilai keupayaan calon, termasuk generasi muda yang mahu menawarkan khidmat kepada rakyat.
SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka ke-16.