Skip to main content

Malaysia

APMM gagalkan cubaan seludup benih udang kara bernilai RM2.6 juta

KOTA TINGGI, 20 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup keluar benih udang kara bernilai kira-kira RM2.6 juta di Jeti Tanjung Belungkor, dekat sini, semalam.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup keluar benih udang kara bernilai kira-kira RM2.6 juta di Jeti Tanjung Belungkor, dekat Kota Tinggi, semalam. - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup keluar benih udang kara bernilai kira-kira RM2.6 juta di Jeti Tanjung Belungkor, dekat sini, semalam.

Pemangku Pengarah APMM Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, rampasan pada 6.46 pagi dilakukan selepas bot ronda APMM mengesan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot itu menemukan 113 kotak polistirena yang mengandungi benih udang kara dipercayai hendak diseludup ke Singapura.

“Siasatan awal mendapati benih udang itu dibawa masuk dari Indonesia yang menjadikan Malaysia sebagai transit bagi penghantaran ke negara jiran,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini. 

Mohd Najib berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta enjin sangkut 150 kuasa kuda dianggarkan mencecah RM2.68 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 40(1) Akta Perikanan 1985. 

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan risikan di kawasan perairan Johor Timur yang dikenal pasti sebagai laluan aktiviti penyeludupan bagi membanteras kegiatan penyeludupan rentas sempatan melibatkan sumber perikanan bernilai tinggi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement