KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak menolak kemungkinan nelayan asing terutama warga Vietnam akan mengambil kesempatan menceroboh dan cuba mencuri hasil laut negara pada musim perayaan.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, bagi membendung kejadian berkenaan, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan pemantauan di perairan negara sepanjang Aidilfitri ini.

Menurut Ariffin, seramai 175 anggota dan pegawai akan ditugaskan melalui Op Pagar Laut sepanjang tempoh itu.

"Semasa Aidilfitri pihak APMM bersedia dan akan melakukan operasi sepenuhnya. Mungkin pihak penceroboh ini, mungkin beranggapan pihak penguasa bercuti pada hari raya. Tapi jangkaan mereka akan silaplah sebab kita akan betugas sepenuhnya untuk melaksanakan operasi.

"InsyaAllah dapatlah kekang dan menjamin keselamatan perairan kita di Malaysia ini amnya dan khususnya kepada perairan pantai timur ini," katanya.

Ariffin turut meminta komuniti maritim agar membantu pihaknya dengan menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat dan aduan melalui talian MERS 999 atau 09-6224357 (pusat operasi) Maritim Negeri Terengganu.