Skip to main content

Dunia

Nike rancang kurangkan pekerja susulan jualan merosot dan prospek semakin lemah

Nike kini berusaha untuk pulih daripada masalah yang sebahagiannya berkait dengan strategi syarikat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. - Gambar fail
Nike kini berusaha untuk pulih daripada masalah yang sebahagiannya berkait dengan strategi syarikat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. - Gambar fail

Advertisement

WASHINGTON: Nike mempergiatkan usaha mengurangkan kos ketika gergasi pakaian sukan Amerika Syarikat (AS) itu berusaha keluar daripada kemerosotan prestasi yang sebahagiannya berpunca daripada strategi syarikat sendiri, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Syarikat itu berkata program penstrukturan semula akan menghasilkan penjimatan sebanyak US$2.5 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Ketua Pegawai Eksekutif Elliott Hill berkata pengurangan pekerja turut menjadi sebahagian daripada itu dalam sidang bersama penganalisis selepas Nike membentangkan keputusan suku tahunannya pada Khamis.

Hasil pendapatan merosot empat peratus tahun ke tahun kepada US$11.2 bilion pada suku terbaharu manakala keuntungan bersih susut dua peratus kepada US$712 juta.

Hill berkata pengguna semakin mengehadkan perbelanjaan. Bagi tahun kewangan yang berakhir pada akhir Mei 2027, Nike menjangkakan hasil akan merosot pada kadar peratusan satu angka yang tinggi. 

Saham syarikat itu susut kira-kira empat peratus pada satu ketika semasa dagangan selepas waktu pasaran di AS.

Nike kini berusaha untuk pulih daripada masalah yang sebahagiannya berkait dengan strategi syarikat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Syarikat itu semakin memberi tumpuan kepada penjualan secara terus kepada pengguna, sekali gus mengurangkan kebergantungannya kepada peruncit tradisional. Di Amerika Syarikat khususnya, jenama pesaing berjaya mendapatkan ruang jualan di kedai, sekali gus memberi tekanan kepada jualan Nike.

Nike kini berusaha untuk memulihkan hubungan dengan rakan kongsi peruncitnya.

Hill juga mahu memperkukuh tumpuan syarikat terhadap atlet selepas produk gaya hidup memainkan peranan yang lebih besar dalam rangkaian produknya.

 -- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement