MAKKAH: Arab Saudi secara dasarnya bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk mengadakan Simposium Perdana Haji di peringkat rantau Asia Tenggara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah telah memberikan respons positif dan sedia bekerjasama berhubung perkara itu.

"Saya dah maklumkan kepada beliau menerusi WhatsApp cadangan saya untuk membawa simposium ini ke Malaysia dan pada dasarnya beliau bersetuju dan akan memberikan kerjasama sekiranya Malaysia berhasrat mengadakan simposium di peringkat rantau Asia Tenggara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kebersihan Masyair di sini.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan secara lebih lanjut termasuk dengan pihak Tabung Haji (TH) dalam merealisasikan penganjuran simposium berkenaan.

Simposium Perdana Haji yang dianjurkan secara tahunan di Arab Saudi menghimpunkan cendekiawan dan pakar dari seluruh dunia untuk berkongsi pengetahuan, penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam semua aspek ibadat haji.

Sementara itu, Mohd Na'im memberikan penilaian lima bintang terhadap perkhidmatan TH dalam memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Katanya, pada tahun ini sahaja, TH memperkenalkan 25 inisiatif termasuk program Ziarah Rahmah, e-Bimbingan Haji dan menggunakan teknologi terkini bagi ujian makmal perubatan sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada. - BERNAMA