Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu serbuan pada Sabtu di sebuah kilang di Bandar Kinrara dekat sini berjaya merampas lebih 500 kotak arak seludup bernilai RM1.6 juta.

Dalam serbuan di Jalan BK 1/13, Kawasan Perindustrian Kinrara itu, sembilan lelaki terdiri daripada empat warga tempatan dan lima warga Myanmar ditahan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata serbuan oleh Bahagian Perisikan/Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan KDNKA itu adalah hasil maklumat diterima daripada orang awam.

"Susulan daripada serbuan tersebut, kita telah berjaya merampas 553 kotak minuman keras dari pelbagai jenama ternama yang dibawa masuk dari negara jiran untuk edaran ke negara kita iaitu sekitar Lembah Klang dan bahagian utara bagi tujuan dijual tanpa membayar cukai," katanya dalam satu sidang akhbar di Balai Polis Bukit Jalil pada Isnin.

Polis turut merampas dua buah lori, dua kereta, sebuah forklift dan 2,000 keping setem duti palsu Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurut Acryl Sani, kesemua suspek berusia di antara 26 dan 57 tahun ditahan reman sehingga Rabu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.