Enam kanak-kanak ialah antara 20 orang yang diselamatkan selepas mereka terperangkap dalam arus deras di Sungai Chiling, dekat sini, petang Jumaat.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Alimaddia Bukri ketika dihubungi berkata kejadian itu berlaku kira-kira 4.17 petang apabila kesemua mereka sedang berkelah di tebing sungai berkenaan secara tiba-tiba arus sungai menjadi deras.

Beliau berkata sepasukan bomba dan penyelamat dari Kuala Kubu Bharu bergegas di lokasi kejadian dan menyelamatkan kesemua mangsa yang mengambil masa hampir sejam.

"Kesemua mangsa berusia di antara lingkungan tiga hingga 30 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah pulang ke rumah masing-masing sebaik sahaja operasi tamat kira-kira 6 petang," katanya.

-- BERNAMA