Moody's Investors Service berkata yang asas-asas kredit negara/kedaulatan di Asia Tenggara dan Asia Selatan seharusnya kekal berdaya tahan di sepanjang 2013, tetapi yang pastinya setiap negara akan mempunyai masalah khususnya sendiri.

Pada masa yang sama, sektor-sektor korporat dan perbankan rantau ini akan berhadapan dengan gabungan cabaran khusus dan individu masing-masing.

Kesimpulan Moody's ini terkandung dalam tiga tinjauan terbaharu yang diterbitkan -- dihasilkan oleh pasukan analitiknya di rantau ini -- untuk meneliti kedaulatan Asia Pasifik, korporat dan bank sepanjang tahun 2013.

"Untuk Asia Pasifik secara keseluruhan, Moody's menjangkakan yang profil kredit kedaulatan dapat mengharungi risiko yang berkaitan dengan halangan kepada pertumbuhan global, berikutan asas-asas makroekonomi yang mantap dan kebergantungan yang meningkat kepada sumber pertumbuhan domestik," kata Christian de Guzman, Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody's Sovereign Risk Group.

Beliau berkata rantau ini akan terus berkembang agak pesat berbanding rantau lain dan pertumbuhan di China -- faktor utama -- akan menyederhana dengan tiadanya masalah besar.

Permintaan domestik yang bertahan lama mungkin akan mengekalkan pertumbuhan kukuh di beberapa ekonomi bersaiz sederhana di rantau ini.

Penggunaan isi rumah juga akan terus memacu momentum di Indonesia dan Filipina sementara program pelaburan awam yang hebat di Malaysia dan Thailand boleh mengimbangi kerapuhan daripada kebergantungan mereka kepada perdagangan antarabangsa.

Sementara itu, untuk bank-bank di beberapa ekonomi berkaitan eksport di rantau ini seperti Singapura, Malaysia dan Thailand, pemulihan makroekonomi bermakna yang sebarang kenaikan kitaran dalam pinjaman tidak berbayar adalah sederhana.

Sistem perbankan untuk Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand mempunyai tinjauan stabil sementara Filipina positif dan India dan Vietnam pula negatif.