NATIONAL
ASEAN ada kekuatan tersendiri, akan keluarkan ketetapan bersama hadapi Tarif Trump – Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata ketetapan itu bakal dicapai dalam mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan dihoskan Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2025. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota ASEAN bakal mengeluarkan ketetapan bersama sebagai maklum balas kepada tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengenakan tarif minimum dan tarif timbal balas kepada rakan dagangnya.
Ringkasan AI
- Negara-negara anggota ASEAN bakal mengeluarkan ketetapan bersama sebagai maklum balas kepada tindakan Presiden AS Donald Trump yang mengenakan tarif minimum dan tarif timbal balas kepada rakan dagangnya.
- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyatakan bahawa ketetapan itu bakal dicapai dalam mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan dihoskan Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2025.
- ASEAN mempunyai kekuatan sendiri yang boleh dimanfaatkan terhadap daya saing dan kemampuan untuk menghasilkan produk dengan kos yang efektif serta berkualiti tinggi, yang menyokong rantaian bekalan negara dunia.
“Hari ini, pertumbuhan masa depan ASEAN berisiko untuk tergelincir dari landasannya.
"Pengumuman tarif Amerika telah menggoncangkan pasaran, dan mewujudkan ketidaktentuan, khususnya negara perdagangan terbuka, ekonomi berteraskan eksport seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.
“Jadi ASEAN mesti bersatu. Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN, untuk mewujudkan ketetapan bersama ASEAN.
“Kerana dengan bersatu akan membantu kita berunding dengan lebih konstruktif, dan paling penting, dengan kekuatan,” katanya lagi.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama penutup Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 di ibu negara, pada Selasa.
Dalam ucapannya beliau mengingatkan kekuatan ASEAN yang merupakan rumah kepada 680 juta penduduk, lebih tinggi daripada Kesatuan Eropah dan ketiga di belakang China dan India, selain kombinasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah AS$3.6 trilion pada 2024.
Pada 2023, Tengku Zafrul berkata, eksport ASEAN ke AS mencecah AS$269 bilion daripada perdagangan dua hala AS$365 bilion, menjadikan nilai lebihan dagangan berjumlah AS$126 bilion.
Tambahnya, sumbangan Malaysia kepada nilai dagang ASEAN-AS juga besar, dengan jumlah AS$45 bilion (RM198.65 bilion) daripada jumlah keseluruhan perdagangan AS$73 bilion (RM324.91 bilion).
Menjawab persoalan bagaimana ASEAN harus kekal mampan, Tengku Zafrul berkata, kunci utamanya ialah pelaburan berterusan dan reformasi industri.
“Berdasarkan strategi kekal neutral, lokasi dan kemampuan industri, ASEAN dengan kekuatan setiap anggotanya yang tersendiri, telah menjadi hab perkhidmatan dan tapak industri bernilai tinggi untuk dunia.
“Di sebalik kepusatan dan neutraliti ASEAN, kami serius untuk membangunkan kapasiti industri ASEAN. Untuk mencapai tujuan ini, Malaysia bakal menganjurkan Dialog ASEAN+3 berhubung Semikonduktor dan Rantai Bekalan Strategik pada tahun ini,” kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata, Malaysia mahu memacu kepelbagaian kerjasama dalam rantai bekalan serantau, pembangunan modal insan, dan inovasi untuk semikonduktor generasi seterusnya.
“Dua prinsip utama Kepengerusian Malaysia ialah – keterangkuman dan kemampanan – yang akan membantu kami menterjemah cita-cita ini menjadi reality melalui empat teras utama, dan 18 Hasil Ekonomi Keutamaan (PED),” katanya lagi.
Tengku Zafrul berkata, antara PED yang digariskan untuk menghadapi cabaran Tarif Amerika ialah, menaiktaraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA); memuktamadkan rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA); dan menaiktaraf Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China (ACFTA) dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA).
Selain itu beliau berkata, ASEAN juga perlu memanfaatkan sepenuhnya Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan rakan dagang seperti Australia, China, Japan dan Korea Selatan – yang merangkumi 30 peratus populasi global dan 30 peratus KDNK dunia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami