BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei bersetuju satu pertemuan pemimpin ASEAN perlu diadakan bagi membincangkan krisis yang semakin memburuk di Myanmar.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengarahkan kementerian berkaitan dan pegawai tertinggi untuk segera mempersiapkan pertemuan itu di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia.

“Para pemimpin juga mengingati tujuan dan prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN, dan menekankan bahawa tetap menjadi kepentingan ASEAN untuk melihat Myanmar menyelesaikan krisis dan mendapatkan kembali kestabilan.

“Para pemimpin menegaskan kesediaan ASEAN untuk membantu Myanmar, termasuk melalui pejabatan pengerusi ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN secara positif, damai dan membina,” kata kenyataan bersama.

Brunei merupakan Pengerusi dan tuan rumah ASEAN bagi 2021.

Sementara itu, kedua-dua negara turut menggesa pihak berkepentingan dalam krisis di Myanmar untuk mencari penyelesaian terbaik dan meneruskan dialog membina serta berdamai.

Pendirian itu dinyatakan kedua-dua negara melalui kenyataan bersama selepas Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia Brunei ke 23 melibatkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.

“Kedua-dua pemimpin meminta semua pihak yang berkaitan untuk mencari jalan keluar yang damai segera kembali normal sesuai dengan kehendak dan kepentingan rakyat Myanmar dan untuk keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.

“Kedua-dua pemimpin menggesa semua pihak untuk berhenti menghasut kepada keganasan dan semua pihak untuk lebih berhati-hati dan fleksibel,” kata kenyataan bersama itu.