Skip to main content

Malaysia

ASEAN cadang model penyerahan tunggal bagi kelulusan peranti perubatan - Dzulkefly

KUALA LUMPUR, Sept 10 - Health Minister Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (left), who is also Chair of the 17th ASEAN Health Ministers "' Meeting (AHMM) speaks during a press conference after the Opening Ceremony of the 17th AHMM and Related Meetings today. Also present is Health Ministry Secretary-General Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Dzulkefly bercakap pada sidang media selepas melancarkan Agenda Kesihatan Strategik ASEAN (ASHA) 2026-2030 di ibu negara hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Cadangan Model Penyerahan Tunggal ASEAN bagi kelulusan prapasaran peranti perubatan boleh dilaksanakan sebaik sahaja negara anggota bersetuju dengan inisiatif berkenaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan itu kini sedang diketengahkan sebagai satu agenda dengan negara-negara ASEAN turut memberikan pandangan serta berkongsi amalan terbaik masing-masing mengenai pelaksanaannya.

“Pada acara sampingan (Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan), kami menerima pandangan sangat baik serta perkongsian mengenai amalan terbaik mereka...Filipina khususnya mencadangkan supaya kita mempunyai satu sistem yang saling berhubung dan boleh saling kendali,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Agenda Kesihatan Strategik ASEAN (ASHA) 2026-2030 di sini hari ini.

Dzulkefly berkata usaha mewujudkan sistem yang boleh saling kendali merentas kesemua 11 negara anggota ASEAN akan mengambil masa memandangkan setiap negara berada pada tahap pembangunan berbeza, dengan sesetengahnya masih membangunkan kerangka kawal selia dan perundangan, manakala yang lain termasuk Singapura dan Filipina sudah lebih maju.

Beliau berkata semalam, negara anggota bersetuju secara prinsip untuk menyokong pelaksanaan Model Penyerahan Tunggal secara berfasa bagi kelulusan prapasaran peranti perubatan, dengan Malaysia bertindak sebagai pusat penyelarasan bagi penyerahan dokumen teknikal.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai pada Perbincangan Meja Bulat ASEAN mengenai Peranti Perubatan yang julung kali diadakan dan dipengerusikannya sebagai sebahagian daripada sesi teknikal khusus bersempena dengan AHMM ke-17.

Mengenai kerjasama dua hala, Dzulkefly berkata Malaysia memperkukuh Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kesihatan dengan Singapura, dengan memperluas kerjasama dalam bidang kesihatan digital, penuaan aktif serta kebergantungan kawal selia antara Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura.

Beliau berkata Malaysia dan Indonesia turut mempergiat inisiatif melibatkan kesihatan digital, Perubatan Tradisional dan Komplementari serta penjagaan kesihatan rentas sempadan, dengan sektor pelancongan perubatan Malaysia mencatatkan hasil lebih RM2.2 bilion pada 2025.

Selain itu, beliau turut berharap sesi dua hala strategik dengan China dan Jepun dapat memperluas kerjasama dalam bidang teknikal dan pelaburan.

“AHMM ke-17 turut menandakan pencapaian penting dalam diplomasi menerusi penganjuran julung kali Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-Amerika Syarikat dan ASEAN-Jepun, di samping rundingan peringkat tinggi dengan China, Korea Selatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement