Ringkasan AI
- Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan mencabar keputusan pengambilan tanah secara paksa adalah sebahagian usaha menegakkan kedaulatan undang-undang.
- Beliau menekankan keperluan ketelusan, proses adil dan pampasan sewajarnya dalam pelaksanaan pengambilan tanah demi pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara.
- Azalina turut mengingatkan pembangunan moden tidak boleh mengatasi standard tadbir urus serta jaminan Perlembagaan Persekutuan.
KUALA LUMPUR: Tindakan mencabar keputusan pengambilan tanah secara paksa bukan seseorang itu tidak setia kepada negara, sebaliknya merupakan elemen penting dalam usaha menegakkan kedaulatan undang-undang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata pengambilan tanah secara paksa kekal sebagai keperluan dalam usaha Malaysia merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membangunkan infrastruktur moden, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira sensitiviti awam dengan mengutamakan ketelusan, proses yang adil serta pemberian pampasan sewajarnya.
“Dari perspektif demokrasi, tindakan mencabar pelaksanaan kuasa bukanlah satu perbuatan tidak setia, sebaliknya merupakan sebahagian daripada prinsip penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya berucap pada majlis pelancaran buku “Challenging Land Acquisition in Malaysia” di sini hari ini.
Beliau berkata kepesatan pembangunan moden tidak seharusnya mengatasi standard tadbir urus dan jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Azalina berkata kejayaan sesuatu projek infrastruktur utama, termasuk landasan kereta api, hab perindustrian dan lebuh raya, tidak seharusnya diukur berdasarkan penyempurnaannya semata-mata, sebaliknya kerajaan juga perlu memastikan institusi yang diberi kuasa melaksanakan tanggungjawab berkenaan secara bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang.
“Kemajuan fizikal semata-mata tidak mencerminkan kedudukan sesebuah negara kerana meskipun bangunan mampu mengubah landskap sesebuah negara, kedaulatan undang-undang pula membentuk jati dirinya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji pengamal undang-undang atas usaha menerbitkan karya akademik dan praktikal yang memperkaya khazanah perundangan serta menjadi panduan kepada golongan berkenaan pada masa akan datang.
-- BERNAMA