KUANTAN, PAHANG: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memperkukuh kedudukan kampus Kuantan sebagai pusat penyelidikan bersepadu dalam bidang sains semula jadi dan kesihatan menerusi penjenamaan semula kepada Pusat Sains Semula Jadi & Sains Kesihatan, UIAM Kuantan atau IIUM Centre for Natural and Health Sciences (IIUM CNHS).
Pengarah Kampusnya, Prof. Dr. Jamalludin Ab Rahman, berkata penjenamaan itu bukan sekadar perubahan nama, bahkan mencerminkan identiti akademik, kepakaran penyelidikan serta hala tuju strategik kampus berkenaan.
"Perjalanan kampus Kuantan bermula dengan penawaran program perubatan pada 1997 sebelum berkembang menjadi sebuah ekosistem akademik yang menghimpunkan enam kulliyyah, iaitu Sains, Perubatan, Pergigian, Farmasi, Kejururawatan dan Sains Kesihatan Bersekutu.
"Ekosistem berkenaan turut disokong oleh hospital pengajar universiti, Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM), selain Institut Penyelidikan dan Pengurusan Alam Sekitar Marin (INOCEM), PLANETIIUM serta Pusat Pengajian Asasi di Gambang," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Beliau berkata, penggunaan perkataan 'Centre' menggambarkan penyatuan kepakaran seluruh kampus Kuantan bagi membolehkan penyelidik daripada pelbagai disiplin bekerjasama menangani persoalan berkaitan kesihatan manusia dan alam sekitar.
Malah, hala tuju baharu itu turut berpaksikan kerangka ilmu tauhid seperti digariskan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, menerusi bengkel pada 1 dan 2 Disember 2025, dengan penekanan terhadap penyelidikan yang bukan sahaja berasaskan ketelitian saintifik, malah mengambil kira tanggungjawab terhadap manusia dan alam sekitar.
Jamalludin berkata, dalam usaha memperluas jaringan penyelidikan antarabangsa, UIAM Kuantan turut meneroka kerjasama dengan Beijing University of Chinese Medicine (BUCM), China, khususnya dalam menghubungkan khazanah perubatan tradisional dengan pendekatan penyelidikan saintifik moden.
"Lawatan pada 19 dan 20 Oktober 2026 itu membuka peluang untuk UIAM mempelajari pendekatan BUCM dalam mengembangkan ilmu perubatan tradisional Cina menerusi penyelidikan makmal dan pembangunan formulasi," ujarnya.
Beliau sendiri menyampaikan ucaptama bertajuk Integrative Medicine Through Unified Knowledge pada 19 Oktober sebelum delegasi mengadakan lawatan ke muzium perubatan tradisional Cina dan makmal BUCM pada hari berikutnya.
"Malaysia juga mempunyai khazanah perubatan tradisional yang boleh diteroka secara saintifik, termasuk menerusi Projek Flagship UIAM berkaitan Manuskrip Perubatan Melayu (HIKAM) yang diketuai Prof. Madya Dr. Mohd Affendi Mohd Shafri dari Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu.
"Projek itu memberi tumpuan kepada usaha mengkaji, merumikan dan menerbitkan manuskrip perubatan Melayu lama, termasuk karya Tayyib al-Ihsan fi Tibb al-Insan oleh Syeikh Ahmad al-Fatani, sebelum kandungan berkaitan resipi dan bahan perubatan dinilai melalui penyelidikan saintifik.
"Kerjasama itu turut diperkukuh menerusi pemeteraian surat hasrat antara Kulliyyah Farmasi UIAM dan School of Life Sciences, BUCM pada 19 Oktober 2026, yang membuka ruang kepada penyelidikan bersama berkaitan pemprosesan herba, pembangunan formulasi serta penilaian mutu bahan semula jadi," katanya.
Selain itu, kepakaran UIAM dalam bidang halal berpotensi dimanfaatkan bagi membantu pembangunan ubat tradisional Cina yang memenuhi keperluan pengguna Muslim, merangkumi aspek pemilihan sumber bahan, proses pengeluaran dan pensijilan halal.
Dalam bidang penyelidikan tempatan, gabungan kepakaran enam kulliyyah dan pusat penyelidikan di kampus Kuantan turut membolehkan pelbagai isu kesihatan dan alam sekitar ditangani secara lebih menyeluruh, termasuk penyelidikan berkaitan kesihatan marin, pemuliharaan ekosistem serta penyakit manusia.
Antara pencapaian yang diketengahkan ialah pengiktirafan SASMEC @IIUM oleh Malaysia Book of Records sebagai hospital universiti pertama di negara ini yang patuh syariah, selain penubuhan Pusat Susu Bonda Halimatussaadia sebagai bank susu ibu patuh syariah pertama.
Kulliyyah Kejururawatan pula menjadi yang pertama dalam kalangan universiti awam menawarkan program Sarjana Muda Kejururawatan (Kepujian) secara Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL), sekali gus memberi peluang kepada jururawat berdaftar meningkatkan kelayakan akademik tanpa meninggalkan tugas di hospital dan klinik.
Sementara itu, INOCEM turut menghasilkan inovasi Streptovax, iaitu vaksin yang diberikan melalui makanan ikan bagi mencegah penyakit streptokokosis, serta Streptokit, kit pengesanan pantas penyakit sama yang masing-masing meraih pingat emas pada International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2024.
UIAM turut mencatat penyertaan dalam Ekspedisi Saintifik Malaysia-OceanX 2024 di perairan Pahang bersama rakan antarabangsa, sekali gus memperluas sumbangan penyelidikan marin negara.
Dalam bidang kesihatan manusia, penyelidik Kulliyyah Perubatan, Dr. Muhammad 'Adil Zainal Abidin, terlibat dalam Program Selangor Mental Sihat (SEHAT), manakala Prof. Dr. Wael Mohamed membangunkan model ikan zebra bagi memahami penyakit Parkinson dan menguji potensi rawatan baharu.
Penyelidikan itu turut diperluas menerusi pembangunan platform yang menggabungkan model ikan zebra dengan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pengesanan awal penyakit Parkinson, selain penglibatan dalam Global Parkinson's Genetics Program.
Mengulas hala tuju seterusnya, Jamalludin berkata, IIUM CNHS mahu muncul sebagai pusat rujukan yang mampu menawarkan penyelesaian berasaskan bukti kepada komuniti, agensi dan pihak industri, khususnya dalam menangani cabaran kesihatan serta alam sekitar.
"Usaha menyelaraskan kepakaran seluruh kampus perlu menjadi keutamaan supaya hasil penyelidikan tidak terhenti di peringkat makmal, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada masyarakat," katanya.
Malah, menerusi Festival Idea Putrajaya 2026 (FOI 2026), usaha mengetengahkan penyelidikan dan inovasi universiti turut membuka ruang memperkenalkan kepakaran serta pencapaian institusi pendidikan tinggi kepada masyarakat, industri dan rakan strategik.
Bagi UIAM, hala tuju IIUM CNHS adalah untuk membawa penyelidikan dari Kuantan ke peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk menyumbang kepada agenda kesihatan planet yang mengiktiraf hubungan rapat antara kesejahteraan manusia dengan kelestarian alam sekitar.