Ringkasan AI
- Kadar pengangguran nasional kekal pada 3.0 peratus pada suku ketiga 2026 walaupun jumlah penganggur meningkat kepada 513,700 orang.
- Putrajaya mencatat kadar pengangguran terendah 1.3 peratus, diikuti Melaka dan Selangor masing-masing 2.0 peratus serta Pahang 2.1 peratus.
- Bilangan tenaga buruh meningkat 0.3 peratus kepada 17.33 juta, dengan kadar penyertaan tenaga buruh keseluruhan naik kepada 71.0 peratus.
PUTRAJAYA: Putrajaya mencatatkan kadar pengangguran terendah pada 1.3 peratus diikuti Melaka dan Selangor masing-masing 2.0 peratus serta Pahang (2.1 peratus) pada suku tahun ketiga 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menerusi kenyataan mengenai Statistik Tenaga Buruh, September dan Suku Ketiga 2026 yang diterbitkan hari ini, DOSM memaklumkan pada peringkat nasional, kadar pengangguran kekal 3.0 peratus pada suku tahun berkenaan sama seperti tahun sebelumnya meskipun jumlah penganggur meningkat 0.8 peratus kepada 513,700 orang berbanding 509,700.
Menurut DOSM, pasaran buruh negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila bilangan tenaga buruh meningkat 0.3 peratus kepada 17.33 juta orang berbanding 17.28 juta pada suku tahun kedua 2026.
“Kadar penyertaan tenaga buruh keseluruhan meningkat kepada 71.0 peratus manakala kadar penyertaan lelaki naik kepada 83.4 peratus berbanding 83.3 peratus sebelumnya... kadar penyertaan wanita pula kekal pada 57.0 peratus.
“Bilangan penduduk bekerja meningkat 0.3 peratus kepada 16.82 juta orang berbanding 16.77 juta pada suku tahun kedua, dengan kategori pekerja merangkumi 76.1 peratus daripada keseluruhan penduduk bekerja,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut kategori pekerja mencatatkan peningkatan 0.2 peratus kepada 12.81 juta orang manakala bilangan individu bekerja sendiri bertambah 0.5 peratus kepada 2.96 juta orang berbanding 2.94 juta pada suku sebelumnya.
Menurut DOSM, daripada keseluruhan penganggur pada suku tahun ketiga, sebanyak 79.7 peratus atau 409,300 orang adalah penganggur aktif yang bersedia untuk bekerja dan sedang mencari pekerjaan manakala 20.3 peratus lagi terdiri daripada penganggur tidak aktif.
Mengikut tempoh pengangguran, 67.3 peratus daripada penganggur aktif menganggur kurang daripada tiga bulan manakala 3.1 peratus adalah penganggur jangka panjang yang tidak bekerja melebihi setahun.
Sementara itu, bagi September 2026, DOSM memaklumkan kadar pengangguran negara kekal rendah pada 2.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya, dengan jumlah penganggur meningkat sedikit kepada 513,200 orang berbanding 511,600 pada Ogos.
“Dalam tempoh sama, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.1 peratus kepada 16.89 juta orang berbanding 16.87 juta pada bulan sebelumnya, ketika pasaran buruh negara terus menunjukkan pertumbuhan stabil susulan prospek ekonomi positif,” menurut DOSM.
DOSM memaklumkan usaha memperkukuh pasaran buruh perlu diteruskan seiring perkembangan teknologi dan transformasi ekonomi.
Ini termasuk memperluas latihan kecerdasan buatan serta automasi, membantu penempatan semula pekerja yang terjejas akibat perubahan teknologi dan memperkukuh pemantauan awal terhadap sektor berisiko bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal berkemahiran, produktif serta berdaya saing.
-- BERNAMA