SEPANG: ASEAN mesti memperkukuh kerjasama serantau dan mengintegrasikan kekuatan masing-masing untuk membina rantaian nilai teknologi bateri yang berdaya tahan dan berdaya saing global, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.
Beliau berkata, teknologi bateri telah berkembang bukan sekadar menyokong terhadap kenderaan elektrik, dan kini menjadi pemboleh ubah strategik bagi keselamatan tenaga, daya saing industri, integrasi tenaga boleh baharu, transformasi digital serta pertumbuhan ekonomi mampan.
“Negara-negara yang menerajui inovasi bateri hari ini akan membentuk industri, pelaburan dan peluang ekonomi pada masa depan.
“Memandangkan ASEAN terus muncul sebagai salah satu rantau ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia, kita mesti meletakkan diri sebagai peneraju dalam rantaian nilai bateri global,” katanya ketika berucap pada Persidangan Teknologi Bateri ASEAN 2026, di sini, pada Rabu.
Chang berkata, tiada negara mampu membina industri bateri yang berdaya saing global secara bersendirian, dan kekuatan terbesar ASEAN terletak pada kepelbagaian serta keupayaannya untuk saling melengkapi melalui kecemerlangan penyelidikan, keupayaan pembuatan, pelaburan, pembangunan piawaian dan integrasi pasaran.
“Kita memiliki semua elemen penting untuk menjadi salah satu ekosistem bateri paling berdaya saing di dunia,” katanya.
Beliau berkata, kemajuan Malaysia dalam teknologi bateri disokong oleh kerjasama kukuh antara kerajaan, industri, pihak akademik dan institusi penyelidikan.
“Menerusi pelaburan berterusan dalam penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan teknologi, kita memperkukuh keupayaan yang diperlukan untuk menyokong ekosistem bateri yang berdaya saing dan mampan.
“Semasa kita terus memajukan teknologi bateri merentasi rantaian nilai, tumpuan kita kekal pada usaha memupuk inovasi, membangunkan bakat tempatan, menggalakkan perkongsian strategik dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan industri yang mampan, katanya.
Chang berkata, Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia pada Rancangan Malaysia Ke-12 memperkukuh keupayaan pembuatan bateri negara, selain mempercepatkan pembangunan teknologi penyimpanan tenaga canggih.
“Melengkapkan inisiatif ini ialah Pusat Hidrogen-EV-Bateri yang berperanan sebagai platform MOSTI untuk penyelidikan bateri, pembuatan prototaip, ujian, pengesahan dan pembuatan berskala rintis.
“Bersama-sama, inisiatif ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk membina ekosistem bateri komprehensif yang merangkumi penyelidikan, inovasi, pembuatan, pensijilan, kitar semula dan pembangunan bakat, katanya.
Persidangan tiga hari bertemakan ‘Industrialising Battery Technologies: Strengthening ASEAN’s Battery Value Chain for Global Competitiveness’ bermula hari ini dan menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, penyelidik, pembangun teknologi serta pelabur dari rantau ASEAN dan luar.
Persidangan itu yang bermula sebagai platform serantau di Bali pada 2023 telah berkembang menjadi forum penting untuk kerjasama, pertukaran pengetahuan dan inovasi dalam teknologi bateri.
-- BERNAMA