KUALA LUMPUR: ASEAN perlu bertindak segera, berterusan dan bersungguh-sungguh bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan yang berulang, kata Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.
Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health, Sunway University itu berkata kerjasama serantau dalam menangani kecemasan kemanusiaan, termasuk bencana tsunami dan taufan membuktikan keupayaan negara ASEAN untuk bertindak secara kolektif, antaranya menerusi pusat bantuan kemanusiaan dan perjanjian serantau mengenai pengurusan bencana.
“Kita pernah melakukkannya dan berjaya mencapai kemajuan dalam pengurusan bencana. Perubahan iklim, jerebu dan pencemaran ini merupakan bencana besar,” katanya ketika sesi pleno bertajuk “The Science of Global Tipping Points” pada Global Tipping Points Conference 2026 (GTP2026) di sini, hari ini.
Perasmian persidangan disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Sesi pleno itu turut menampilkan Pengarah Pengasas Global Systems Institute, University of Exeter, England, Prof Tim Lenton; Pengarah Potsdam Institute for Climate Impact Research dan Profesor Sains Sistem Bumi di University of Potsdam, Jerman, Prof Dr Johan Rockstrom; serta Pengarah Iklim dan Kesihatan di yayasan kebajikan global, Wellcome, Prof Alan Dangour.
Dalam pada itu, Jemilah berkata pusat yang diterajuinya melatih golongan muda dalam bidang diplomasi dan rundingan, dengan matlamat untuk membolehkan mereka menyertai delegasi rasmi kerajaan dan mengambil bahagian secara aktif.
Beliau menggesa pembuat dasar, pihak perniagaan dan universiti memberikan peranan lebih besar kepada golongan muda dalam perbincangan dasar dan lembaga pengarah, dan bukannya sekadar melibatkan mereka sebagai wakil bagi memenuhi keperluan perwakilan semata-mata.
“Kita hanya perlu mewujudkan peluang dan ruang untuk mereka. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Dangour berkata Wellcome bekerjasama dengan Jemilah menerusi projek Southeast Asia DREAMS, yang akan menyalurkan dana lebih £50 juta ke rantau ini bagi penyelidikan berkaitan perubahan iklim dan kesihatan manusia.
Beliau berkata projek itu akan membantu dalam penubuhan hab penyelidikan baharu serta kumpulan kerja yang akan bekerjasama rentas ASEAN, dengan memanfaatkan kepakaran dan penyelesaian yang sedia ada di rantau ini.
Dangour berkata tindakan boleh dilaksanakan di peringkat negara dan serantau seiring dengan rundingan antarabangsa, sambil menegaskan bukti dan perancangan yang sedia ada perlu dilaksanakan.
“Kita mempunyai banyak hasil sains dan bukti, tetapi apa yang benar-benar perlu dilakukan ialah melaksanakannya,” katanya.
Sementara itu, Lenton berkata peralihan kepada tenaga bersih perlu disertai langkah perlindungan bagi komuniti yang terdedah kepada risiko, dengan menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai contoh jaringan keselamatan sosial bagi melindungi golongan paling berisiko.
Beliau berkata manfaat penggunaan tenaga lebih bersih perlu dinilai dengan perbandingan kesan buruk yang ketara terhadap kesihatan akibat penggunaan bahan api fosil, manakala tadbir urus yang baik perlu bagi memastikan risiko alam sekitar dan sosial baharu akibat peralihan itu dapat diminimumkan.
Persidangan empat hari yang berlangsung hingga 15 Okt itu merupakan penganjuran pertama siri berkenaan di Asia dan menghimpunkan peserta daripada pelbagai bidang untuk meneliti risiko alam sekitar serta langkah mempercepat perubahan positif.
-- BERNAMA