NATIONAL
ASEAN muktamad rundingan ACFTA 3.0, ATIGA bagi perkukuh integrasi dan pertumbuhan - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (foto) berkata kejayaan dalam usaha memuktamadkan semua rundingan itu dijangka meningkatkan integrasi ekonomi rantau ini dan menjana manfaat ekonomi yang besar untuk ASEAN. -Gambar fail/Facebook
KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN hari ini memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0, dan penyempurnaan naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), satu langkah penting untuk integrasi ekonomi dan pertumbuhan yang lebih utuh.
Ringkasan AI
- Menteri-menteri Ekonomi ASEAN memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 dan naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), yang dijadual ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober 2025 di Kuala Lumpur.
- Kedua-dua perjanjian ini dijangka meningkatkan integrasi ekonomi serantau, memperkukuh rantaian bekalan, dan memberi impak komersial yang signifikan, menjadikan ASEAN lebih berdaya saing dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
- Mesyuarat AECC turut membincangkan isu geopolitik, kesan tarif AS, serta menyambut kejayaan PED Laos dan menyokong strategi ekonomi digital ASEAN, selaras dengan tema kepengerusian Malaysia 2025: -Keterangkuman dan Kemampanan-.
AECC ialah badan penyelarasan utama ASEAN yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pelbagai sektor di bawah Tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN.
Tengku Zafrul berkata kejayaan dalam usaha memuktamadkan semua rundingan itu dijangka meningkatkan integrasi ekonomi rantau ini dan menjana manfaat ekonomi yang besar untuk ASEAN, ketika blok ini terus mengharungi landskap ekonomi global yang semakin tidak menentu.
"Khususnya, ATIGA -- yang telah lama dianggap sebagai asas integrasi ekonomi ASEAN -- kini akan meliputi peruntukan yang bersifat pandangan jauh dan membawa impak komersial yang bermakna, bertujuan meningkatkan lagi perdagangan serantau, mengukuhkan rantaian bekalan dan menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih kukuh dalam ASEAN," katanya.
Kedua-dua Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) itu adalah antara 18 PED Malaysia.
Pada mesyuarat itu, AECC membincangkan beberapa isu mendesak termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan kesan langkah tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap landskap perdagangan dan pelaburan ASEAN.
Kalangan menteri dalam AECC sebulat suara mengakui bahawa ASEAN perlu keluar daripada pendekatan lazim, sebaliknya perlu melaksanakan strategi yang lebih berani, cekap serta berpandangan jauh untuk melindungi serta memajukan kepentingan sosioekonomi ASEAN.
"Kami sekali lagi menegaskan bahawa prinsip kepusatan, tidak memihak, berkecuali dan perpaduan ASEAN kekal sebagai perkara asas bagi daya tahan dan kejayaan kami.
"Kepelbagaian, kekuatan ekonomi secara kolektif, kestabilan politik, dan komitmen bersama rantau ini menjadi asas kukuh untuk menghadapi cabaran semasa dan akan datang dengan jayanya."
AECC turut menyambut baik penyelesaian sepenuhnya PED Laos bagi 2024, yang ditunjukkan melalui kejayaan penerimaan Pelan Hala Tuju Piawaian Perdagangan Digital. Pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan dalam memajukan agenda ekonomi digital ASEAN.
Mesyuarat AECC itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong; Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Datuk Awang Mohd Amin Liew Abdullah; Menteri Perdagangan Kemboja Cham Nimul; Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam Nguyen Hong Dien; Menteri Perdagangan Indonesia Budi Santoso; dan Menteri Industri dan Perdagangan Laos Malaithong Kommasith.
Wakil lain yang menghadiri mesyuarat itu ialah Setiausaha Rendah Jabatan Perdagangan dan Industri Filipina Allan B. Gepty; Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong; Menteri Perdagangan Thailand Pichai Naripthaphan; dan Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Acara itu diadakan bersama dua sidang kemuncak utama lain, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, sebagai platform penting memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.
Sepanjang menjadi anggota dalam blok 10 negara ini, Malaysia telah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami