KUALA LUMPUR:
Ekspo dan Forum ASIAWATER kembali lagi untuk penganjuran kali ke-13 tahun ini, dijadual berlangsung pada 23 hingga 25 April 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dengan tema “Water Transformation & Climate Change: Innovation for Resilience,” edisi kali ini memberi tumpuan kepada keperluan kritikal untuk menampan impak perubahan iklim kepada sumber air dan alam sekitar dengan meneroka potensi teknologi terkini.

Kata Penasihat ASIAWATER, Datuk Abdul Kadir Mohd Din, ia sejajar dengan agenda Transformasi Sektor Air 2040 (WST2040) negara di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk membina kesiapsiagaan mendepani sebarang kemungkinan mendatang.

“Ia melibatkan pengurusan sumber dan bekalan air, bagaimana kita menyimpan air dan keterhubungan serta pembekalan air dari satu tempat ke satu tempat supaya andai kata berlaku bencana misalnya kita punyai sistem yang cekap dan sedia.”

Jelasnya lagi, WST2040 juga berhasrat untuk menjadikan sektor air sebagai medan yang boleh menjana keuntungan untuk memacu ekonomi negara, maka ASIAWATER menjadi pentasnya untuk semua pihak terlibat dalam sektor ini bertemu dan merencana.

“Teknologi sentiasa berubah dan perlu diusahakan bagaimana untuk menerapkannya dalam industri air untuk membantu kerajaan meningkatkan Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK) juga meletakkan Malaysia secara strategik dalam bisnes air.

“Jadi segalanya tentang kemajuan teknologi dan mengubahsuai apa yang kita ada yang dapat membawa manfaat kepada semua pemegang taruh.”

ASIAWATER 2024 menjangka kehadiran lebih 20,000 peserta perdagangan dan para profesional industri daripada 61 buah negara, melibatkan lebih daripada 1,000 pempamer mewakili syarikat dan jenama terkemuka merentas sektor air dan kumbahan.

Acara tiga hari itu nanti akan menyaksikan 13 Pavilion Antarabangsa, mempersembahkan kepakaran daripada negara seperti Austria, China, Republik Czech, Jerman, India, Korea Selatan, Belanda, Singapura, Switzerland, Taiwan, Turkiye, United Kingdom dan sudah tentu Malaysia selaku tuan rumah.

“Para pelabur akan datang untuk melihat, dan para pemain industri tidak hanya memperkenalkan produk inovasi masing-masing tetapi juga kita berharap mereka membina dan menjadikan Malaysia sebagai hab,” ujar Abdul Kadir lagi.

ASIAWATER 2024 turut akan membawa kembali WATER TALKS, merangkumi lebih 50 persidangan berkaliber tinggi, seminar dan bengkel yang diterajui para pakar dan pemimpin pemikiran dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Persatuan Air Malaysia (MWA), Konsortium Indah Water (IWK), Universiti Nottingham, ENSEARCH, dan Persatuan Perikatan Air Malaysia (MyWP).

Layari laman web rasmi ASIAWATER 2024 di www.asiawater.org untuk maklumat lanjut.