KUALA LUMPUR: Sekitar tiga dekad lalu, saiz industri hiburan barangkali terlalu kecil jika dibandingkan dengan kepesatan yang dilalui sektor berkenan hari ini.

Sekalipun, saiznya kecil, namun keghairahan masyarakat terhadap karya-karya tempatan sama ada filem mahupun muzik begitu mempersonakan.

Setiap kali filem atau album baharu dipasarkan, peminat memberikan sokongan yang luar biasa.

Lantaran penerimaan yang baik menyebabkan industri hiburan ketika itu khususnya pada era 80-an dan 90-an dibelenggu oleh masalah kegiatan cetak rompak.

Isu jenayah cetak rompak pada zaman dahulu terbawa-bawa sehingga ke era digital ketika naskhah karya dalam bentuk fizikal sudah mula pupus.

Entah apa malang yang menimpa industri seni tanah air sehingga isu ini menjadi api dalam sekam sejak berdekad lamanya.

Sudah berbuih mulut penggiat industri hiburan berjuang meminta dan merayu kepada semua pihak untuk sama-sama membanteras jenayah itu, namun, semuanya saling tidak ubah seperti mencurah air ke daun keladi.

Penubuhan jawatankuasa jangan dicerita, sudah tidak terhitung pelbagai pihak tampil untuk menjadi juara dalam menangani isu ini.

Begitu juga dengan arahan demi arahan, penguatkuasaan demi penguatkuasaan ditegaskan oleh pihak berwajib, namun, masalah itu masih ada sehingga ke hari ini.

Dan dalam landskap industri hiburan hari ini, penjenayah cetak rompak nampaknya terus berani mencabar pihak berkuasa menerusi pencerobohan dalam kandungan digital pula.

Dalam usaha membantu membasmi penjenayah-penjenayah cetak rompak, Astro berdiri teguh di samping pemain-pemain industri bangkit menentang kegiatan tidak bermoral ini.

BACA: RM3 bilion hasil kecurian cetak rompak, hukuman setimpal tidak boleh dilengahkan

Menurut Pengarah Kawal-Selia Astro Malaysia Holdings Bhd, Laila Saat, stesen penyiar satelit ini mengalu-alukan tindakan yang diambil terhadap penstriman haram menggunakan kotak media/android.

Sehubungan itu, Astro, kata beliau, akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan rakan kandungan untuk menghantar mesej bahawa cetak rompak kandungan ialah suatu perbuatan mencuri kandungan yang salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Ramai yang tidak mengetahui kandungan di dalam aplikasi yang dimuat turun melalui kotak media tidak mempunyai kebenaran pemilik hak cipta.

“Perbuatan cetak rompak ini juga merupakan api dalam sekam bagi sektor kandungan/perfileman tempatan dan ekosistem kreativiti. Yang mana hasil kreativiti dicuri dari setiap individu membabitkan barisan pelakon, penulis, produser, pengarah dan jurukamera yang menjurus kepada kemelesetan pembangunan industri,” kata Laila.

Gelanggang seni tanah air wajar dilindungi kerana jumlah anggaran kerugian dalam industri hiburan tempatan dan ekonomi melebihi RM3 bilion setiap tahun.

Bahkan, apa yang harus anda ketahui juga ialah kerajaan kehilangan sekurang-kurangnya RM500 juta daripada hasil kutipan cukai.

Turut mendukacita, tegas Laila, ribuan orang kehilangan ribuan pekerjaan dan jumlah ini akan terus meningkat jika tidak dibendung.

“Jika perkara ini tidak diberi perhatian, industri hiburan akan terjejas kerana tiada keperluan untuk penggerak industri mencipta atau melabur dalam kandungan-kandungan berkualiti dan original seperti filem, Ola Bola, Premier League atau FIFA World Cup, hanya untuk kandungan berkenaan dicuri, distrim dan dijual secara haram,” kata beliau lagi.

Laila turut berkata, filem-filem terbitan Astro seperti KL Gangster 2 yang mendapat kutipan tinggi di box-office semasa ditayangkan di pawagam turut terkesan apabila menjadi mangsa cetak rompak sebelum ditayangkan kepada khalayak.

“Jangkaan awal menunjukkan KL Gangster 2 mampu meraih kutipan RM15 juta namun di akhir tayangan kutipan hanya RM4.9 juta,” tambah beliau lagi.


** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.