KUALA LUMPUR : Saluran berita Astro AWANI mula menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu penyampian berita buletin AWANI 745, Sinar AWANI dan Buletin AWANI.

Teknologi berkenaan juga digunakan untuk program bual bicara Agenda AWANI dan buletin berita Bahasa Inggeris, AWANI Tonight.

Teknologi berkenaan menampilkan penyampai berita oleh avatar yang diberi nama "Joon" yang menyampaikan teks berita yang ditulis oleh wartawan, dengan bantuan ChatGPT.

Pengenalan "Joon" adalah salah satu usaha untuk memberi bayangan kepada penonton dan pembaca Astro AWANI mengenai penggunaan teknologi dalam amalan pemberitaan masa hadapan.

Memperkenalkan penyampai AI terbaharu Astro AWANI, Joon

Menerusi laporan berkenaan, "Joon" menyampaikan berita tentang penggunaan teknologi AI serta kesannya kepada pasaran buruh, sempena sambutan Hari Pekerja 2023 yang disambut hari ini.

Laporan berita itu juga sudah melalui semua proses semakan secara manual bagi menjamin integriti kewartawanan, sama seperti yang dilalui oleh semua laporan berita yang lain.

Sementara itu, menerusi program Agenda AWANI, avatar yang diberi nama "Monica" berkongsikan maklumat tentang jangkaan masa depan pekerjaan pada era AI.