NATIONAL
Astro AWANI terima anugerah Liputan TV Tertinggi daripada UPM

Dr Azlinariah Abdullah mewakili Astro AWANI pada majlis penyampaian anugerah Liputan TV Tertinggi pada Majlis Promosi Universiti Putra Malaysia (UPM) Bersama Media 2025 di Serdang, Selangor malam tadi.
SERDANG: Stesen televisyen 24 jam yang paling dipercayai di Malaysia, Astro AWANI, dinobat penerima anugerah kategori Liputan TV Tertinggi pada Majlis Promosi Universiti Putra Malaysia (UPM) Bersama Media 2025 di Serdang, Selangor malam tadi.
Anugerah itu disampaikan Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah kepada Editor Kanan dan Penerbit Astro AWANI, Dr Azlinariah Abdullah.
Penghargaan diberi berdasarkan sumbangan secara signifikan oleh Astro AWANI dalam liputan berita berkaitan UPM sepanjang tahun lalu.
Terdapat 10 kategori anugerah untuk media lain selain yang diberikan kepada Astro AWANI menerusi kategori Liputan TV Tertinggi.Pada majlis sama, 19 ahli akademik dan seorang pegawai bukan akademik UPM menerima Anugerah Visibiliti Media UPM 2024.
UPM turut menghargai dua kakitangan bukan akademik iaitu Chai Sen Tyng dan Siti Fatimah Abdul Ghani yang banyak menyumbang dalam kepakaran kepada masyarakat melalui media.

Ahmad Farhan (depan, empat dari kiri) bergambar kenangan dengan wakil-wakil media pada pada Majlis Promosi Universiti Putra Malaysia (UPM) Bersama Media 2025 di Serdang, Selangor malam tadi.
Menurut Ahmad Farhan, majlis diadakan bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara UPM dan media, sekali gus sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan dalam mengetengahkan pencapaian dan inisiatif universiti.
"Kita tahu dan sedar akan pentingnya peranan media dalam membantu UPM menyampaikan agenda ilmu, pertanian dan kelestarian kepada masyarakat.
"Dalam hal ini, media bukan sekadar saluran maklumat tetapi rakan strategik dalam memperluaskan capaian dan impak universiti kepada negara dan dunia, " kata beliau ketika berucap pada majlis berkenaan, pada Khamis.
Ahmad Farhan menambah, anugerah itu diberikan sebagai penghargaan kepada mereka yang telah banyak menyumbang kepakaran bertulis yang dikongsi di akhbar, televisyen dan radio.
Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengamal media yang membantu meningkatkan visibiliti UPM dalam menyokong aspirasi dan agenda negara kepada masyarakat.
“Peranan yang dimainkan media selama ini telah memberi impak positif kepada UPM. Terutamanya dari segi visibiliti, pemerkasaan imej, penjenamaan, promosi kepakaran, menonjolkan bakat pelajar dan menyampaikan maklumat mengenai aktiviti UPM kepada masyarakat serta pemimpin dan pihak berkepentingan di dalam dan luar negara,” jelas beliau lagi.
Dalam masa sama, Ahmad Farhan berharap anugerah itu akan meningkatkan lagi visibiliti UPM dan mempromosikan program akademik UPM untuk meneruskan legasi mereka sebagai sebuah universiti bereputasi antarabangsa selaras dengan moto mereka ‘Berilmu Berbakti.’
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami