GADGETS
Astro Malaysia sertai ACE, perkukuh usaha perangi aktiviti cetak rompak digital

Penyertaan Astro mengukuhkan komitmen pakatan itu bagi mengesan, mencegah dan membanteras aktiviti cetak rompak di seluruh dunia. - Sumber foto ACE/Astro
KUALA LUMPUR: Alliance for Creativity and Entertainment (ACE), pakatan anti cetak rompak terkemuka dunia, hari ini mengumumkan penyertaan Astro Malaysia Holdings Berhad sebagai ahli terbaharunya, sekali gus memperkukuh usaha global membanteras aktiviti cetak rompak digital khususnya di rantau Asia Pasifik.
Pengerusi ACE merangkap Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Motion Picture Association (MPA), Charles Rivkin berkata, penyertaan Astro mengukuhkan komitmen pakatan itu bagi mengesan, mencegah dan membanteras aktiviti cetak rompak di seluruh dunia.
“Astro merupakan pemain utama dalam usaha membanteras cetak rompak di Malaysia melalui pendekatan pendidikan pengguna, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama erat dengan kerajaan.
“Kini, dengan menyertai ACE, peranan Astro akan diperluaskan dan kepimpinan ACE akan diperkukuh secara global,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa. Selain itu, Astro turut terlibat aktif dalam Malaysian Cybercrime Task Force yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dengan peranan utama dalam memerangi cetak rompak digital dalam negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, perjuangan menentang cetak rompak adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk melindungi nilai kreativiti dan pengkarya yang memainkan peranan penting di sebalik penghasilan sesebuah kandungan.
“Bagi kami, memerangi cetak rompak bukan hanya soal perniagaan tetapi juga soal prinsip.
“Kami telah mengambil tindakan termasuk memadamkan lebih 26,000 senarai peranti dan perkhidmatan penstriman haram, menutup 327 kumpulan cetak rompak di Telegram dengan lebih 12 juta langganan, serta memperoleh kejayaan penting dalam prosiding undang-undang,” katanya.
Tambahnya, penyertaan Astro dalam ACE memberi kekuatan kerjasama global serta memastikan pencipta kandungan tempatan terus dilindungi, seterusnya memberi pengalaman tontonan yang lebih selamat dan memuaskan kepada pengguna.
ACE yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat, merupakan pakatan anti cetak rompak terbesar di dunia dengan keanggotaan yang merangkumi lebih 50 syarikat hiburan dan media terkemuka termasuk Netflix, Disney, Apple TV+, Warner Bros, Discovery dan lain-lain.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami