KLANG: Faktor cuaca tidak menentu, terutama hujan bukanlah penghalang kepada penganut agama Hindu untuk berbelanja di Little India Jalan Tengku Kelana, di sini sebagai persiapan akhir menyambut Deepavali, minggu depan.
Tinjauan Bernama mendapati kawasan yang mempunyai lebih 100 kedai itu dipenuhi orang ramai yang ingin membeli barangan seperti pakaian, barang kemas, makanan dan peralatan sembahyang bersempena dengan sambutan Pesta Cahaya kelak.
Selain peniaga yang dilihat menawarkan pelbagai promosi dengan potongan harga terendah kepada pembeli, sebahagian pengunjung turut menggunakan kesempatan untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersiar-siar di sekitar lokasi perniagaan itu bersama dengan keluarga.
Pengunjung, S. Meiyarasan, 28, berkata, dia sekeluarga berbelanja pada saat-saat akhir dengan turut mengambil kira faktor cuaca di Klang yang kini lazimnya hujan pada sebelah petang.
"Saya yang menetap di Puchong akan mendapatkan perkembangan atau maklumat berkaitan cuaca terlebih dahulu, berikutan musim Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara ketika ini, sebelum bergerak ke mana-mana.
"Langkah ini bagi memudahkan lagi urusan kami untuk membeli barangan persiapan raya, terutama pakaian dan makanan dengan kepelbagaian pilihan serta harga berpatutan di sini," katanya yang merupakan seorang jurutera itu.
S. Kalaiselvi, 55, pula berkata, kawasan itu diibaratkan sebagai pusat sehenti bagi sambutan Deepavali dan menjadi rutin keluarganya untuk berbelanja sejak lebih 20 tahun lepas berbanding membuat pembelian secara dalam talian.
"Saya sememangnya lebih gemar membeli secara fizikal kerana mahu mendapat kepuasan melihat sendiri material dan kualitinya, khususnya pakaian seperti sari, vesti dan doti untuk keluarga.
"Cuaca hujan mungkin juga menjejaskan sedikit urusan itu, namun segala persiapan masih perlu dilengkapkan bagi perayaan yang disambut hanya setahun sekali," kata ibu kepada dua anak itu.
Peniaga kedai pakaian Sri Kumaran Tekstil, N. Ravi Chandran, 62, berkata, pihaknya terpaksa melanjutkan operasi perniagaan sehingga lewat malam atas permintaan tinggi pelanggan termasuk faktor hujan.
"Cuaca pada waktu pagi biasanya cerah atau panas, namun hujan ketika petang sehingga menyebabkan kedai perlu dibuka hingga 12 tengah malam kerana dikunjungi hampir 2,000 pelanggan, terutama pada hujung minggu.
"Sambutan menjelang minggu terakhir sebelum Deepavali ini dilihat semakin meriah dan kami turut menawarkan potongan harga antara 30 hingga 50 peratus dan dikendalikan oleh 35 pekerja," katanya.
Bagi bekas pekerja kilang, M. Sarkunan, 66, Little India itu menjadi lokasi pilihannya sejak sekian lama kerana faktor harga murah dan bersesuaian dengan golongan B40 sama ada pakaian dan makanan seperti muruku atau biskut suji.
"Harga di lokasi ini dilihat murah lebih 10 peratus, sekali gus membantu meringankan perbelanjaan saya untuk pulang beraya di rumah anak di Kulim, Kedah nanti," kata datuk kepada dua cucu yang menetap di Kapar itu.
-- BERNAMA