BENTONG: Masalah berkaitan pesakit yang terpaksa menunggu lama sehingga ada yang pulang tanpa mendapat rawatan di Hospital Bentong, menarik keprihatinan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Young Syefura menegaskan, isu itu telah dibangkitkan beliau dalam ucapan perbahasan Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat dan mahu perkara itu diselesaikan secepat mungkin.

"Saya ambil maklum mengenai keadaan ini, apabila ada pesakit terpaksa menunggu lama, sehingga ada yang pulang tanpa mendapatkan rawatan seperti yang disiarkan sebuah akhbar pada hari ini (Ahad).

"Malah, saya juga telah membangkitkan perkara ini di dalam ucapan perbahasan Titah Diraja dan telah mendapat respon daripada Menteri Kesihatan dalam ucapan penggulungan beliau," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti trend peningkatan kehadiran pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma, dengan salah satu faktor adalah kesan daripada pandemik COVID-19 iaitu kes-kes seperti penyakit tidak berjangkit (NCD) dan komplikasinya semakin hari semakin meningkat.

Tambahnya lagi, walaupun kakitangan kesihatan terutamanya doktor dan pegawai perubatan di Hospital Bentong telah ditambah, namun, ia masih tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit yang hadir di hospital terbabit.

"Selain itu, faktor waktu perkhidmatan klinik-klinik swasta yang tamat seawal pukul 5 petang juga, menjadikan pesakit tiada tempat lain untuk mendapatkan rawatan melainkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Bentong.

"Saya juga telah mendapat jawapan lisan Menteri Kesihatan pada waktu itu, beliau juga memaklumkan bahawa KKM akan menambah sebanyak 1,500 jawatan baharu dan saya berharap agar kekurangan pekerja kesihatan di Hospital Bentong dapat diisi," kata Young Syefura lagi.

Dalam masa sama, beliau akan mengemukakan cadangan pembinaan sebuah fasiliti kesihatan di daerah tersebut kepada KKM.

“Saya akan memanjangkan isu pembinaan Hospital Bentong yang baharu di Chinta Manis kepada KKM supaya ia dapat dibina dengan segera bagi memastikan fasiliti kesihatan di Bentong ini lebih selesa dan kesesakan serta waktu menunggu dapat diselesaikan,” ujarnya.