LUMUT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan distruktur semula menjadi angkatan masa hadapan, dengan kredibiliti menepati kemajuan teknologi, cabaran masa hadapan dan menepati ekspektasi rakyat.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata ia akan dilaksanakan melalui Pelan Strategi Ketenteraan Negara yang baharu dan keupayaan ketiga-tiga perkhidmatan akan dipertingkatkan secara holistik dan berpegang kepada Trilogi 3M iaitu Anggota, Peralatan dan Cara (Man, Machine dan Method).

"Saya dibantu oleh panglima-panglima perkhidmatan, yang dilihat sebagai penjana keupayaan daya tempur menerusi konsep Raise, Train and Maintain, manakala Panglima Angkatan Bersama selaku nadi tempur kepada aplikasi tindak balas ketenteraan melalui kaedah Operate and Sustain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perbarisan Tempur Statik dan Demonstrasi Keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sempena Hari ATM Ke-90 Tahun 2023 di Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di sini hari ini.

Mohammad yang dilantik sebagai Panglima ATM pada 6 Sept lepas berkata beliau beriltizam untuk melestarikan idea-idea dan meneruskan usaha yang telah dirintis serta dibangunkan oleh panglima terdahulu, selain mendefinisikan semula fungsi, menambah baik kesejajaran dan meningkatkan keupayaan pasukan.

Beliau berkata sinergi Elemen Whole of Government and Whole of Society (WOGOS) sentiasa dipraktikkan, bagi menyokong negara ke arah Malaysia lebih berdaulat, selamat dan makmur dan tanggungjawab, dalam Military Operations Other Than War (MOOTW) bagi membantu pihak berkuasa awam sentiasa dilaksanakan tanpa berbelah bahagi.

"Usaha pembangunan ATM melalui Rancangan Malaysia Ke-12 bermula 2021, telah memperlihatkan pencapaian yang sangat memuaskan dan pelbagai pelaksanaan projek pembangunan, keupayaan, infrastruktur dan sumber manusia, dilaksanakan mengikut perancangan semasa.

"Sebagai contoh, sejumlah 1,563 unit rumah kediaman projek pembangunan rumah keluarga untuk semua peringkat telah bermula dan dijangka siap awal tahun 2024," katanya.

Bagi tentera darat katanya, melalui Plan Strategi Army 4nextg, keupayaan dan tahap operasinya telah dipertingkatkan secara menyeluruh dan angkatan itu kini dalam proses perolehan mempertingkatkan elemen kuasa tembakan, melibatkan kenderaan perisai 4x4 dan artileri SPH 155mm.

Selain itu, pasukan itu akan menerima aset-aset persenjataan, mobiliti dan komunikasi bagi mempertingkatkan tahap kesiagaan, terutamanya pasukan tempur serta memperlengkapkan keperluan elemen kuasa tembakan, mobiliti, komunikasi dan logistik untuk menjadikan tentera darat sebagai sebuah angkatan yang seimbang, kredibel dan disegani.



ATM-STRUKTUR 3 LUMUT



"Untuk TLDM, pelan transformasi TLDM 15 to 5, telah menunjukkan peningkatan dari aspek keupayaan aset sedia ada, peningkatan keupayaan tentera laut dapat dilihat melalui perolehan aset baru seperti kapal littoral mission ship, helikopter operasi maritim, fast interceptor craft, dan unmanned aerial system.

"Dalam masa yang sama, usaha memperkasakan armada tentera laut diteruskan melalui perolehan kapal littoral combat ship, littoral mission ship batch 2 dan helikopter operasi maritim batch 2," katanya.

Manakala bagi pelan pembangunan keupayaan TUDM 2055 (CAP 55), proses perolehan aset sedang berjalan mengikut perancangan dan mengutamakan perolehan pesawat fighter lead in 6 training/light combat aircraft, pesawat medium altitude long endurance - unmanned aircraft system, pesawat maritime patrol aircraft, dan long range acoustic device radar.

Mohammad berkata rancangan perolehan itu ialah untuk memperkasakan tahap kesiapsiagaan TUDM sebagai instrumen utama udara dalam melakukan tugas mengesan, mencegah dan menafikan daripada sebarang pencerobohan udara.

Sementara itu, sambutan Hari ATM ke-90 dengan tema 'Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama' agak berbeza kali ini, di mana hadirin dipertontonkan dengan Perbarisan Tempur Statik dan Demonstrasi Keupayaan ATM melibatkan kira-kira 1,500 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.



ATM-STRUKTUR 4 (AKHIR) LUMUT



Perbarisan Tempur Statik diketuai Kapten Muhammad Haziq Abdullah melibatkan empat kontinjen terdiri daripada Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Gabungan Pasukan Khas berkekuatan seramai 30 pegawai dan 306 lain-lain Pangkat.

Perbarisan turut menyaksikan terbang lintas empat pesawat helikopter ATM yang membawa bendera TDM, TLDM dan TUDM diketuai Mejar Khairul Ridhuan Ramlee dan diiringi Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Left Komander Mohd Shamram Ramli.

Antara aset yang terlibat dalam segmen Demonstrasi Keupayaan ATM ialah Kenderaan Perisai AV8 Gempita, Kenderaan Berperisai Berantai ACV 300 Adnan, Kenderaan Pelancar Roket Igla SLU dan Astros II, Helikopter Super Lynx dan Helikopter Fennec.

Pada sambutan itu juga Mohammad menyampaikan Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera kepada 21 Gerup Gerak Khas, Angkatan Kapal Selam dan Pangkalan Udara Kuantan yang masing-masing menerima piala pusingan serta wang tunai sebanyak RM5,000.

Beliau kemudian melakukan penyerahan simbolik perasmian Karnival Hari ATM yang bakal berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut selama tiga hari bermula Jumaat ini.

-- BERNAMA