Skip to main content

Malaysia

Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka lakar sejarah berjaya biak 10 anakonda hijau

Gerard Wong (tengah) menunjukkan anakonda hijau yang berjaya dibiakkan secara kurungan pada sidang media di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka. - Bernama
Gerard Wong (tengah) menunjukkan anakonda hijau yang berjaya dibiakkan secara kurungan pada sidang media di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka. - Bernama

Advertisement

MELAKA: Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (MBRS) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pusat pemuliharaan zoologi pertama di negara ini yang berjaya membiakkan 10 anakonda hijau atau nama saintifiknya Eunectes murinus secara kurungan sepenuhnya pada 5 Okt lepas.

Pengarah Urusan MBRS Gerard Wong berkata anak haiwan itu dilahirkan sihat daripada induk betina yang diberi nama “Diana” berusia enam tahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan taman berkenaan sebagai pemegang rekod populasi anakonda terbanyak di Malaysia.

Beliau berkata kejayaan pembiakan generasi kedua itu amat bermakna buat industri zoologi tempatan kerana proses pembiakan spesies ular terbesar di dunia dari Amazon, Amerika Selatan itu memerlukan kepakaran tinggi serta kawalan persekitaran yang rapi.

“Sebelum ini, haiwan yang diberi nama Jasmine pernah melahirkan anak pada 2020 dan kini, legasi itu diteruskan anaknya yang diberi nama Diana, yang berukuran hampir 10 kaki dan seberat hampir 13 kilogram.

“Pembiakan anakonda hijau berbeza daripada kebanyakan spesies ular kerana haiwan itu tidak bertelur di luar badan sebaliknya spesies ini bersifat ovoviviparus, iaitu telur berkembang dan menetas di dalam badan induk sebelum anak-anak dilahirkan dalam keadaan hidup,” katanya pada sidang media berkaitan kejayaan pembiakan spesies anakonda hijau itu di sini hari ini.

Wong berkata Diana melalui tempoh kebuntingan dan berpuasa selama 190 hari sebelum melahirkan semua anak ular berkenaan yang kini masih dalam pemantauan rapi dan belum boleh dipamerkan kepada pengunjung.

Beliau berkata pada awalnya, harapan untuk pembiakan haiwan itu diletakkan sepenuhnya pada seekor induk anakonda hijau diberi nama Amber yang mengeluarkan anggaran 50 hingga 60 biji telur pada 10 Ogos lepas namun semua telur berkenaan tidak berjaya disenyawakan.

Menurut Wong, proses pembiakan haiwan itu melalui induk Amber didokumentasikan pihaknya menerusi laman sosial MBRS dan perkembangan itu diikuti oleh ramai rakyat Malaysia yang prihatin berkaitan usaha berkenaan.

“Kami tahu ramai yang kecewa kerana sudah lama menunggu dan mengikuti perkembangan pembiakan anakonda hijau di MBRS tetapi usaha itu berjaya diteruskan menerusi induk Diana.

“Setakat ini, semua 10 anak anakonda hijau itu berada dalam keadaan baik dan jantina setiap anak ular itu masih belum dikenal pasti kerana keutamaan ketika ini ialah memastikan kesihatan dan kestabilan fizikalnya,” katanya.

Beliau berkata haiwan itu menjadi aset bernilai tinggi kerana prosedur mengimport dari luar negara amat sukar selain melibatkan kos logistik yang sangat tinggi, justeru kejayaan pembiakan spesies ular itu secara tidak langsung menjamin kelangsungan genetik anakonda di Malaysia bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Wong berkata kelahiran baharu 10 anakonda hijau itu menjadikan keseluruhan lebih 40 anakonda hijau dan kuning yang dipelihara di MBRS ketika ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement