Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempertingkatkan kawalan dan menggerakkan aset ke sempadan negara khususnya di Sabah susulan insiden serangan dan letupan bom di tiga negara jiran iaitu Indonesia, Filipina dan Thailand.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penambahan rondaan dua kapal akan dilakukan hari ini bagi membantu memperketatkan kawalan di perairan Sabah.

"ATM juga menempatkan anggota QRF (Pasukan Tindakan Pantas) bersama trup yang beroperasi di pulau-pulau sekitar perairan Sabah dan meningkatkan rondaan bot-bot tempur di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk dari selatan Filipina," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata ATM juga akan melaksanakan penambahan satu kompeni infantri Tentera Darat di kawasan Cenderawasih, Lahad Datu, Sabah.

"Penambahan trup tersebut dilaksanakan bagi memastikan kawasan pantai di Lahad Datu terkawal sepenuhnya.

"Pelaksanaan inisiatif dan pendekatan ini termasuk mengatur gerak aset tambahan diperkirakan berupaya menangani serta memberi tindak balas dengan pantas terhadap sebarang ancaman yang wujud," katanya.

Hishammuddin berkata beliau telah berhubung dengan rakan sejawatnya iaitu Delfin Negrillo Lorenzana (Filipina), Prawit Wongsuwan (Thailand) dan Ryamizard Ryacudu (Indonesia) bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden yang berlaku di negara mereka.

"ATM terus bekerjasama rapat dengan angkatan tentera dari ketiga-tiga negara tersebut bagi memperkukuh kawalan keselamatan di negara masing-masing termasuk berkongsi maklumat risikan," katanya.

Selain itu, beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan ATM bekerjasama rapat dengan agensi-agensi keselamatan di negara ini untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan Sabah dan negara ini terus terpelihara.

"Landskap keselamatan dunia semakin mencabar dan begitu pantas berubah. ATM serta pihak keselamatan di negara ini sentiasa memikirkan cara dan kaedah terbaik dari semasa ke semasa bagi menangani ancaman ini.

"Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak atau kumpulan yang cuba mengganggu gugat keselamatan dan kedaulatan negara ini," katanya.

-- BERNAMA