MALAYSIA
ATSN medan bentuk barisan kepimpinan masa depan - Zambry

Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025, kata Zambry, bukan sahaja mencungkil dan merangsang bakat kepimpinan pelajar, malah turut menyediakan ruang untuk mereka mengasah potensi diri dalam pelbagai bidang terutamanya dalam kapasiti kepimpinan.
PUTRAJAYA: Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025 (ATSN) yang mengiktiraf sumbangan mahasiswa institut pendidikan tinggi (IPT), merupakan landasan penting dalam membentuk barisan pemimpin masa depan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis ATSN ke-9, di sini, pada Rabu, beliau berkata pengiktirafan itu bukan sahaja mencungkil dan merangsang bakat kepimpinan pelajar, malah turut menyediakan ruang untuk mereka mengasah potensi diri dalam pelbagai bidang terutamanya dalam kapasiti kepimpinan.
"Saya yakin di setiap IPT, sama ada universiti, politeknik mahupun kolej komuniti akan meneruskan program kepimpinan di kampus masing-masing.
"Di situlah kita dapat membina daya kepimpinan dan keseluruhan potensi yang ada dalam setiap mahasiswa dan mahasiswi kita," katanya yang turut menitipkan ucapan tahniah kepada kesemua pemenang di majlis itu.Majlis berprestij yang memasuki penganjuran kali kesembilan itu mula diperkenalkan pada 2013 dengan nama Anugerah Tokoh Siswa (ATS).
ZAMBRY-ATSN 2 (AKHIR) PUTRAJAYA
Objektif utama penganjuran ATSN 2025, bertujuan mengiktiraf sumbangan mahasiswa dan badan pelajar IPT, memupuk semangat nasionalisme, meningkatkan kebolehsaingan serta melahirkan pewaris kepimpinan negara.
Sebanyak 11 kategori individu dipertandingkan meliputi kepimpinan, seni warisan, keusahawanan, sukan rekreasi, bicara siswa, inovasi, kesukarelawanan, khidmat komuniti, inklusiviti, perpaduan dan kelestarian siswa.
Selain itu, ATSN turut menawarkan Anugerah Sinergi Kepimpinan (kategori berkumpulan) serta empat Anugerah Penghargaan Khas (Menteri PendidikanTinggi, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi) manakala Anugerah Tokoh Siswa Negara merupakan anugerah utama yang ditawarkan dalam majlis ATSN 2025.
Pada majlis itu, Ng Zhen Fan Shankar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkul Anugerah Tokoh Siswa Negara.
ATSN menerima 246 penyertaan dari seluruh IPT (universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti) dengan 75 calon berjaya ke peringkat akhir.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami