Skip to main content

Malaysia

Australia peringati Hari ANZAC ke-111 di Malaysia

HARI ANZAC 111
Heinecke berkata beliau berbesar hati mengetuai upacara itu bersama wakil Malaysia, kor diplomatik dan komuniti Australia. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Australia pada Sabtu memperingati ulang tahun Hari ANZAC ke-111 di Malaysia, dengan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke mengetuai upacara subuh di Tugu Negara.

Majlis peringatan itu, yang diadakan bersama Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, adalah antara upacara yang berlangsung di seluruh negara termasuk di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Advertisement

Tahun ini, upacara di Sabah turut diberi perhatian susulan kebakaran baru-baru ini di Sandakan.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia menyampaikan simpati kepada mereka yang terjejas dan merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang membantu komuniti terlibat.

Heinecke berkata beliau berbesar hati mengetuai upacara subuh itu bersama wakil Malaysia, kor diplomatik dan komuniti Australia.

“Ia satu peringatan yang bermakna mengenai pengajaran daripada konflik lalu, serta kepentingan dialog, diplomasi dan kerjasama dalam memelihara keamanan.

“Saya menyedari bahawa upacara di Sandakan tahun ini berlangsung ketika komuniti di sana sedang pulih daripada tragedi kebakaran. Saya menyampaikan takziah kepada rakyat Sabah dan mengiktiraf keberanian petugas barisan hadapan, ketika kita menghormati jasa dan pengorbanan semua pihak yang berkhidmat menjaga keselamatan komuniti,” katanya dalam kenyataan itu.

Upacara Hari ANZAC lazimnya diadakan pada waktu subuh setiap 25 April di seluruh dunia, bagi memperingati pendaratan Kor Tentera Australia dan New Zealand di Gallipoli, Turkiye pada 1915 semasa Perang Dunia Pertama, selain mengenang mereka yang pernah berkhidmat dan berkorban.

Di Malaysia, majlis itu turut mencerminkan perkongsian pertahanan yang sekian lama terjalin antara Australia dan Malaysia, yang wujud sebelum pembentukan negara Malaysia moden.

Tahun ini turut menandakan ulang tahun ke-85 Pertempuran Kota Bharu, pertempuran besar pertama dalam Perang Pasifik, serta 60 tahun sejak Konfrontasi Indonesia-Malaysia, ketika kira-kira 3,500 anggota Australia berkhidmat.

Peristiwa-peristiwa bersejarah itu menjadi asas kepada kerjasama pertahanan dan keselamatan masa kini di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif Australia-Malaysia.

Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, lebih 70,000 anggota Angkatan Pertahanan Australia pernah berkhidmat atau menjalani latihan di Malaysia, termasuk di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara, manakala 5,000 rakyat Malaysia menjalani penglibatan serupa di Australia.

Pegawai tentera kedua-dua negara juga ditempatkan dalam pasukan masing-masing, mencerminkan kepercayaan bersama dan kerjasama operasi yang erat, yang terus menyokong keselamatan serantau.

-- BERNAMA

Must Watch Video